Program agihan bubur lambuk di Kampong Bharu belum diputuskan

Bubur lambuk - Foto Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu
Bubur lambuk - Foto Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran program agihan bubur lambuk di Kampong Bharu pada Ramadan tahun ini masih belum diputuskan, kata Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris.

Menurut beliau, meskipun keputusan belum dibuat secara rasmi, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini tidak memungkinkan pihaknya melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan.

Katanya, ia bukan hanya soal agihan, tetapi termasuk proses untuk memasak bubur lambuk itu sendiri.

"Bagaimana kita mahu masak sebab tak boleh berkumpul. Masjid pun ditutup. Lebih kurang 30 orang diperlukan bermula daripada proses memasak, membungkus dan mengedar.

"Kita perlu faham tentang pentingnya penjarakkan sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Ditanya adakah pihak pengurusan masjid mempunyai sebarang pendekatan lain, beliau bagaimanapun berkata, ia antara jadi ataupun tidak.

"Dalam minggu depan kita akan adakan mesyuarat, kemudian baru kita akan diputuskan," katanya.

Jelas beliau, walaupun menerima tempahan awal daripada agensi korporat dan individu pihaknya perlu akur dengan situasi semasa.

Artikel Berkaitan:

"Sudah banyak tempahan, tetapi sejak PKP, tiada perkembangan diterima kerana pejabat pun tutup. Jadi mungkin mereka pun tak jadi (tempah)," katanya.

Program pengagihan bubur lambuk Kampong Bharu merupakan satu kelaziman setiap kali bulan Ramadan.

Sebanyak 30 periuk bubur dimasak oleh ahli kariah Masjid Jamek Kampung Baru dengan lebih 7,000 bungkus diedarkan secara percuma setiap hari.