Tipu jual topeng muka, Selangor catat kerugian RM 1.5 juta

Muhammad Yazid ketika bercakap kepada pemberita di sidang akhbar di IPK hari ini.
Muhammad Yazid ketika bercakap kepada pemberita di sidang akhbar di IPK hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan sebanyak 144 kes melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1.5 juta berhubung penipuan jualan topeng muka yang dicatatkan di negeri ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, setakat ini, 20 individu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Muhammad Yazid berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati semasa melakukan pembelian topeng muka diaplikasi jualan dalam talian.

"Ini kerana ramai pihak yang mengambil kesempatan berhubung penjualan topeng muka ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Orang ramai diminta supaya membuat semakan terlebih dahulu dan menyemak sebelum membuat bayaran dan jika boleh pastikan barang sampai sebelum melakukan pembayaran secara sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung sambutan Pesta Songkran melibatkan warga asing yang tular di media sosial ketika PKP.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih jalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan untuk tindakan susulan.

"Kita juga telah teliti video berdurasi 30 minit itu yang melibatkan warga asing merayakan Pesta Songkran dan setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Yazid berkata, sebanyak 962 kompaun dikeluarkan dalam tempoh PKP di negeri ini.

Menurutnya, daerah Klang Utara mencatatkan jumlah kompaun tertinggi iaitu dengan 109 kompaun, manakala Klang Selatan 108 kompaun dan Serdang 100 kompaun.

"Di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sifar kes kompaun dicatatkan.

"Kawasan yang paling rendah direkodkan kes kompaun melibatkan Kuala Selangor dengan 13 kompaun dan Hulu Selangor 15 kompaun," katanya.