Topeng muka percuma untuk rakyat Kedah

Anggota APM menyerahkan bungkusan topeng muka kepada wakil penduduk untuk diedarkan di Bandar Baharu di sini hari ini.
Anggota APM menyerahkan bungkusan topeng muka kepada wakil penduduk untuk diedarkan di Bandar Baharu di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menerima sebanyak 2,071,400 topeng muka daripada kerajaan Persekutuan untuk diagihkan secara percuma kepada isi rumah di negeri ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, rakyat di negeri ini akan menerima bekalan itu secara berperingkat, malah beberapa daerah sudah pun diagihkan ke rumah masing-masing.

Menurutnya, setakat semalam, sebanyak 256,708 topeng muka telah diagihkan di tiga daerah iaitu Kuala Muda sebanyak 200,000 manakala di Yan (44,252) diikuti Baling (12,456).

“Untuk ketiga-tiga daerah itu, bilangan ketua isi rumah yang sudah menerima topeng muka percuma daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) adalah sebanyak 64,117,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Awang Askandar berkata, APM selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri diberi tanggungjawab mengedarkan topeng muka berkenaan dan pihaknya menjangkakan proses itu mengambil masa beberapa hari.

AWANG ASKANDAR
AWANG ASKANDAR

"Kita menerima topeng muka dalam kuantiti yang banyak dan ia perlu dibuat pembungkusan semula mengikut kuantiti diterima setiap isi rumah agar proses agihan ke setiap daerah lancar," katanya.

Menurutnya, topeng muka terbabit akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah sebelum diedarkan kepada penduduk melalui Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Penghulu atau ketua komuniti.

Artikel Berkaitan:

Awang Askandar berkata, daerah Kuala Muda merupakan penerima terbanyak topeng muka percuma itu iaitu sebanyak 500,000, diikuti daerah Kota Setar (400,000), Kulim (320,000), Kubang Pasu (195,000) serta Baling (150,000).

“Daerah Langkawi dan Pendang masing-masing menerima 100,000 topeng muka, Sik dan Yan masing-masing 70,000, Padang Terap (65,000), Pokok Sena (56,400) serta Bandar Baharu sebanyak 45,000,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat ini dan meminta orang ramai merujuk kepada wakil kawasan masing-masing.

"Harap bersabar, topeng muka yang diberikan percuma ini akan sampai ke rumah anda," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan akan mengagihkan 24.62 juta topeng muka secara percuma kepada setiap isi rumah di negara ini seperti disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, topeng muka itu dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan kepada rakyat.