Remaja derita kanser, kulit melepuh

Nur Syahidah memerlukan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.
Nur Syahidah memerlukan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.
A
A
A

PUCHONG - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah gambaran derita terpaksa ditanggung seorang remaja perempuan yang menghidap kanser kulit sejak enam tahun lalu.

Selain terpaksa menanggung rasa pedih dan sakit akibat kulit seluruh badan melepuh, Nur Syahidah Rashid,18, kini berdepan kesukaran untuk bergerak berikutan lututnya kerap sakit kebelakangan ini.

Ibunya, Kamsiah Mohamed Arsad, 55, berkata, anak bongsu daripada lapan beradik itu dilahirkan secara normal dan jarang sekali sakit sehingga mengalami demam panas ketika berusia 13 tahun.

Menurutnya, pada mulanya Syahidah hanya demam biasa, namun menjadi serius apabila tumbuh ruam di pipinya selain mengalami sakit sendi.

“Anak saya jarang sakit, kalau demam sehari pun dia masih pergi sekolah, namun pada tahun 2014 keadaan berubah apabila dia kerap demam.

“Bila pergi hospital doktor tak dapat kenal pasti dia sakit apa, bila kerap demam saya bawa dia ke klinik dan hanya diberi ubat tahan sakit dan ubat sapu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kamsiah yang merupakan ibu tunggal dan menghidap asma kronik berkata, keadaan Nur Syahidah menjadi makin teruk apabila kulitnya menggelupas dan rambutnya menjadi gugur sehingga botak.

Katanya, kulit di seluruh anggota badan Nur Syahidah melepuh seolah-olah melecur terkena api.

Artikel Berkaitan:

”Pada Disember 2014, Nur Syahidah demam panas, tekanan darahnya rendah manakala jantungnya berdegup laju. Ketika mendapat rawatan di hospital, barulah doktor dapat sahkan anak saya menghidap kanser kulit.

“Sejak itu Nur Syahidah kerap tidak ke sekolah kerana alami kesakitan, jika terkena panas matahari sikit pun muka dia akan jadi merah, melecet dan keluar darah,” katanya.

Kamsiah yang menjalankan perniagaan tapai secara kecil-kecilan berkata, kebiasaannya untuk membawa Nur Syahidah ke hospital dia akan menggunakan perkhidmatan e-hailling.

Katanya, kini dia memerlukan sebuah kerusi roda untuk memudahkan anaknya bergerak terutama untuk ke hospital.

“Bantuan lain Alhamdulillah cukup, saya dapat bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Cuma kalau boleh nak belikan sebuah kerusi roda kerana saya tak mampu. Sekarang anak saya sedang mendapat rawatan di Hospital Serdang kerana platelet darahnya turun,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat (nombor akaun 220696118980) atas nama Nur Syahidah.