Penolong Pengarah Kewangan, pegawai tadbir Felda direman

Pegawai yang ditahan semalam bagi membantu siasatan.
A
A

IPOH - Dua pegawai Felda direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan rasuah berhubung projek kerja-kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka Felda Trolak Selatan, Sungkai, tahun lalu.

Lelaki yang berpangkat Penolong Pengarah Kewangan Ibu Pejabat Felda dan Pegawai Tadbir Felda Trolak itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Gabion, semalam.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah membenarkan permohonan reman itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus memaklumkan penahanan individu berusia 39 dan 33 tahun itu adalah berkaitan tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi 'Bill Of Quantity' yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tender bernilai RM137,900.

“Mereka ditahan dalam Ops Gabion yang dilancarkan Isnin lalu bersama seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah yang dilantik oleh Felda bagi memantau projek berkenaan dan telah direman semalam,” katanya dalam sidang media di Pejabat SPRM Perak, hari ini.