Dapur Prihatin bantu penduduk terjejas

Penduduk kampung yang mendapatkan barangan keperluan daripada Dapur Prihatin.
Penduduk kampung yang mendapatkan barangan keperluan daripada Dapur Prihatin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menyedari ada golongan yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, penduduk Kampung Pulau Manis, Serada di sini mengambil inisiatif dengan menubuhkan Dapur Prihatin.

Bermula dengan penglibatan 20 sukarelawan di kampung itu, ia kemudiannya menarik penglibatan lebih ramai penyumbang daripada kalangan penduduk kampung dan badan bukan kerajaan.

Penyelarasnya, Muhammad Che Embong, 61, berkata, Dapur Prihatin menyediakan barangan keperluan harian bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan di kampung itu dan sekitarnya.

"Kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri, menyebabkan mereka antara golongan yang terkesan. Sebab itu kita wujudkan Dapur Prihatin kerana rasa tanggungjawab membantu sesama penduduk kampung.

"Pada awalnya kita hanya kumpulkan wang sesama sendiri untuk membeli barangan dapur seperti beras, tepung, telur dan gula. Tapi tidak sangka pula ia kemudiannya mendapat sambutan daripada kalangan penduduk kampung.

"Mereka turut sama menyumbang, ada yang memberikan duit, menyerahkan sumbangan malah pekebun turut menyumbang hasil tanaman mereka seperti timun dan terung.

"Segala aktiviti Dapur Prihatin juga kita masukkan dalam media sosial kampung, sehinggakan penduduk kampung yang berada di luar juga terpanggil untuk turut sama menyumbang," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan dapur untuk penduduk kampung.
Antara barangan dapur untuk penduduk kampung.

Jelasnya, Dapur Prihatin berfungsi sebagai stor makanan di mana penduduk yang memerlukan boleh mengambil barangan makanan yang diperlukan seperti beras, tepung, susu, milo dan gula mengikut kadar yang perlu.

Selain itu, barangan basah seperti ikan dan ayam juga disediakan dan akan dihantar oleh sukarelawan bergantung kepada sumbangan yang diberikan.

"Matlamat kita adalah membantu seramai mungkin penduduk kampung yang terkesan dan mereka boleh duduk rumah dan patuhi arahan PKP tanpa rasa bimbang.

"Kita juga mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar agar Dapur Prihatin ini dapat diteruskan dan lebih ramai penduduk yang mendapat manfaatnya dalam menjalani kehidupan seharian sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Penduduk kampung mendapatkan barangan keperluan di Dapur Prihatin.
Penduduk kampung mendapatkan barangan keperluan di Dapur Prihatin.