7 petugas kesihatan antara 33 kes baharu Covid-19 di Thailand

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatat 33 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) yang membabitkan tujuh doktor serta petugas perubatan dan tiga lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 2,551 dengan 38 kematian sejak penularan wabak itu pada Januari.

Ia adalah angka terendah jangkitan harian yang dicatat pada April dan menyaksikan kemerosotan selama empat hari berturut-turut sejak 111 kes dilaporkan pada 8 April.

Thailand mencatat peningkatan harian tertinggi pada 22 Mac dengan sejumlah 188 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Mengenai Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kematian terkini membabitkan dua lelaki berusia 74 dan 44 tahun serta seorang wanita berusia 65 tahun.

Keadaan kesihatan ketiga-tiga mangsa sememangnya adalah kronik.

Sejak Thailand mengenakan perintah berkurung selama enam jam bermula jam 10 malam hingga jam 4 pagi pada 3 April, beliau berkata, angka kes baharu jangkitan Covid-19 yang dicatat di negara itu terus berkurangan kecuali jumlah 111 kes yang dilaporkan pada 8 April membabitkan 42 rakyat Thailand yang pulang dari Indonesia.

“Kita boleh mengawal situasi ini memandangkan orang ramai kini memberikan kerjasama yang baik bagi mengekang pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh leka. Kita perlu terus mengamalkan jarakan sosial dan duduk di rumah,” katanya ketika taklimat harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Daripada sejumlah 2,551 kes Covid-19, 1,218 dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat ini, virus berbahaya itu tersebar ke 68 daripada 77 wilayah di negara itu dengan Bangkok mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 1,294 diikuti Phuket (176), Nonthaburi (148), Samut Prakan (106), Yala (82) dan Pattani (77).

Sehingga hari ini, sejumlah 81 doktor dan kakitangan perubatan di negara itu dijangkiti Covid-19 sejak penularannya pada Januari.

Memandangkan tahun baharu tradisional Thailand bermula esok, Thaweesilp menggesa orang ramai mematuhi garis panduan dan langkah-langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Oleh kerana kerajaan membatalkan sambutan Songkran tahun ini, beliau menggesa orang ramai tidak memercikkan air kepada orang lain kerana ia berisiko menyebarkan virus berbahaya itu.

Selain itu, Thaweesilp berkata, sejumlah 72 wilayah di negara itu mengharamkan penjualan minuman beralkohol dalam usaha untuk tidak menggalakkan sambutan perayaan dan menghalang perhimpunan semasa Songkran.

Beliau berkata, tindakan perundangan termasuk denda 100,000 baht dan penjara setahun akan dikenakan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan sosial ketika Songkran. - Bernama