Kajian ubat Tocilizumab rawat Covid-19 sedang dijalankan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kajian terhadap ubat Tocilizumab bagi merawat pesakit koronavirus (Covid-19) masih dijalankan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Semasa mengesahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian itu bersama sebuah universiti tempatan, Dr Noor Hisham berkata, beliau berharap penyelidikan itu dapat memberi manfaat kepada pihaknya dalam mengekang pandemik Covid-19.

"Apa yang penting kita kena lihat cara menjalankan penyelidikan itu di empat hospital kalau tak silap saya dan kita harap mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara menjalankan penyelidikan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata, ketiga-tiga ubat iaitu Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan pihaknya bagi merawat penyakit lain didapati berkesan untuk merawat pesakit positif Covid-19.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban akan memulakan ujian klinikal bagi mencari penawar Covid-19 pada pertengahan April.

Fokus kajian adalah Tocilizumab yang dipasarkan dengan jenama Actemra.

Dilaporkan, kajian terhadap Tocilizumab yang sebelum ini dijadikan penawar bagi radang sendi atau artritis rheumatoid akan tertumpu kepada perbandingan Tocilizumab secara intravena dengan dos tinggi corticosteroid pada 300 pesakit teruk Covid-19.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan penghasilan vaksin Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, ia masih dalam penyelidikan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Artikel Berkaitan:

"Banyak kajian telah dilaksanakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa pertubuhan antarabangsa jadi sama-sama kita harap dapat dipertemukan vaksin dalam tempoh setahun," katanya. - Bernama