KKM kesan empat sub kluster madrasah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat sub kluster madrasah koronavirus (Covid-19) di beberapa negeri yang dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat sub kluster itu adalah madrasah di Jerantut, Pahang, Penanti, Pulau Pinang, Sungai Lui, Selangor dan Jasin, Melaka.

Menurutnya, sub kluster baharu itu ditemui susulan daripada tindakan proaktif di lapangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Di madrasah Jerantut, jumlah yang telah disaring adalah seramai 401 orang di mana 297 adalah pelajar dan baki 104 orang adalah kakitangan dan keluarga kakitangan.

"Jumlah kes positif adalah 62 orang dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan manakala 20 kes telah sembuh," katanya pada sidang akhbar di KKM hari ini.

Beliau berkata, di madrasah Penanti pula, jumlah yang disaring seramai 291 orang di mana 256 adalah pelajar dan baki 35 orang merupakan kakitangan.

"Jumlah positif enam orang, di mana dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dan empat kes telah discaj," katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sub kluster madrasah Sungai Lui, sejumlah 282 telah disaring di mana 274 adalah pelajar dan lapan kakitangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah yang positif di madrasah itu sebanyak 90 kes dan 67 kes telah discaj.

"Bagi madrasah Jasin pula, 137 telah disaring melibatkan 122 pelajar dan 15 kakitangan, di mana 37 kes positif dan satu kes telah sembuh," katanya.

Katanya, kesemua kes positif telah diasingkan dan diberikan rawatan.