41 pelajar tahfiz sembuh Covid-19: Dr Noor Hisham

Pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling yang sembuh sepenuhnya dari Covid-19 berkongsi kegembiraan dengan doktor dan jururawat sebelim discaj daripada HCTM hari ini.
Pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling yang sembuh sepenuhnya dari Covid-19 berkongsi kegembiraan dengan doktor dan jururawat sebelim discaj daripada HCTM hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 41 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling yang positif jangkitan koronavirus (Covid-19) telah sembuh dan didiscaj dari wad Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif Covid-19 daripada kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke HCTM pada 2 April lalu.

Katanya, kesemua pesakit terbabit adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun dan mereka terdedah kepada wabak itu sama ada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac lalu atau daripada persekitaran masjid selepas perhimpunan.

"Kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian swab saringan awal pada pertengahan Mac dan pada 24 Mac lalu adalah negatif.

"Mereka telah dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan pada 2 April, keputusan ujian swab ketiga yang diambil pada 30 Mac adalah positif Covid-19. Para pelajar seterusnya dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, rawatan di HCTM berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simptom batuk pada 5 April lalu dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.

"Kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini," katanya.

​Berikutan itu, Dr Noor Hisham menegaskan daripada aspek perubatan, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal amatlah penting bagi memastikan pesakit positif Covid-19 berpeluang sembuh sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kumpulan pelajar itu merupakan pesakit pada usia muda dan disebabkan itu proses penyembuhan dan prognosis mereka adalah lebih baik berbanding pesakit yang berusia ataupun yang menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis.

Menurut beliau, oleh itu amat penting untuk mendapatkan rawatan di peringkat awal semasa di tahap satu sehingga tiga.

"Daripada aspek kawalan Covid-19, proses kuarantin awal dan isolasi di wad bagi kesemua 41 pelajar ini selepas didapati positif merupakan langkah yang amat penting.

"Di dalam kes ini, kesemua 41 mereka tidak mengalami sebarang simptom, tetapi mampu untuk menjangkiti dan menyebarkan Covid-19 kepada masyarakat sekeliling tanpa menyedari mereka telah dijangkiti," katanya.

Justeru, katanya, keperluan kepada proses pengesanan, kuarantin, isolasi dan rawatan awal merupakan langkah tepat membantu proses penyembuhan, menyekat penyebaran dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan mengambil contoh pengurusan kesemua 41 pelajar tahfiz tersebut.