Bantuan Covid-19: Ahmad Said minta agih peruntukan sama rata

Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan beras sebagai simbolik bantuan kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff untuk diagihkan kepada rakyat.
Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan beras sebagai simbolik bantuan kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff untuk diagihkan kepada rakyat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu meminta agar kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani krisis wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri secara sama rata kepada wakil rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukan itu amat penting untuk mereka agihkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Menurutnya, wakil rakyat UMNO hanya mendapat peruntukan berjumlah RM45,000, berbanding wakil rakyat lain berjumlah RM350,000 dan RM305,000 kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Di Perlis dan Pahang, peruntukan ini diagihkan sama rata sebab kita Perikatan Nasional tapi di Terengganu, tiada perbincangan tentang agihan.

"Sedangkan peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

"Tetapi peruntukan kepada kita terhad, hanya RM45,000 dan kita terpaksa gunakan peruntukan lain yang kita dapat sebelum ini bagi membantu rakyat. Sedangkan rakyat datang bertemu dan mengadu minta bantuan kepada kita, ini antara realiti yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Tabung Covid-19 UMNO Terengganu kepada wakil ketua UMNO bahagian dan penerima bantuan.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bernilai RM130 juta akan disalurkan kepada pentadbiran kerajaan negeri bagi membantu menangani krisis Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan itu boleh digunakan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19 selain pesakit virus itu serta ahli keluarga mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai Tabung Covid-19 UMNO Terengganu, beliau berkata, sejumlah RM206,100 berjaya dikumpulkan, hasil sumbangan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen UMNO Terengganu dan beberapa syarikat swasta.

Peruntukan itu katanya, akan digunakan bagi membeli barangan keperluan dapur dan diagihkan kepada 22 DUN yang kalah dalam pilihan raya umum lalu.

"Setiap DUN kita akan agihkan 320 bekas bantuan atau sumbangan berupa bekalan makanan yang kita jangka akan dapat membantu 7,400 keluarga susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

"Kita harapkan bantuan yang kita dapat kumpulkan ini walau tidak seberapa, ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

"Saya juga merayu kepada mana-mana individu, pihak swasta, kontraktor dan ahli perniagaan untuk turut sama menyalurkan bantuan ke tabung ini, demi kepentingan rakyat Terengganu," katanya.