Kempen PRK Cameron Highlands suam-suam kuku

Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra bersama orang ramai di sekitar Pekan Tanah Rata semasa tempoh berkempen bagi PRK itu hari ini. - Foto Bernama
Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra bersama orang ramai di sekitar Pekan Tanah Rata semasa tempoh berkempen bagi PRK itu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH RATA - Kehangatan PRK Parlimen Cameron Highlands, yang masuk hari kelima, boleh dianggap 'suam-suam kuku' sama ada oleh pihak PH, BN atau kedua-dua calon Bebas.

Perang poster dan bendera khususnya di kawasan pekan kurang menyengat jika dibandingkan dengan PRU14 pada tahun lepas walaupun ia sebenarnya boleh mempengaruhi psikologi pengundi.

Keadaan sama dilihat di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Ringlet dan Tanah Rata serta sepanjang jalan di kawasan peranginan itu, namun berbeza pula di kawasan di Sungai Koyan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai yang dilihat lebih sikit meriahnya.

Mungkin merasakan cara kempen sebegitu semakin kurang berkesan, calon-calon yang bertanding lebih cenderung bertemu pengundi di kawasan umum dan program kunjungan ke rumah-rumah pengundi termasuk di kawasan penempatan Orang Asli, walaupun dalam skala kecil.

Mungkin juga pendekatan itu ada kaitannya dengan menyahut seruan kerajaan pimpinan PH, yang menekankan penjimatan seterusnya memilih untuk beralih daripada memasang poster dan bendera yang selama ini sinonim dengan pilihan raya.

Contohnya, calon PH, M Manogaran dan calon BN, Ramli Mohd Nor dilihat lebih selesa menggunakan pendekatan sederhana dalam kempen mereka bertemu pengundi serta berceramah di tempat awam bersama skala jentera parti yang kecil.

Namun begitu, pendekatan dua calon bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Talib sepanjang tempoh berkempen sedikit berbeza kerana masing-masing bergerak berseorangan tanpa jentera untuk tujuan bersemuka dengan rakyat.

Bagi pengundi, mereka berpendapat cara berkempen dari pintu ke pintu adalah inisiatif terbaik dan amat berkesan kerana melalui kaedah itu masyarakat akan berpeluang lebih mengenali calon semasa siri kempen yang berlangsung 14 hari sehingga 25 Jan ini.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk, Md Adzir Said, 43, dari Tanah Rata berkata menerusi cara itu, permasalahan dialami penduduk yang ingin diadukan dapat diberi perhatian segera.

“Saya rasa yang kempen pintu ke pintu sewajarnya dilakukan sebab dia nak kenalkan (promosikan) diri dia dan kita pun bukanlah mengenali calon itu, cuma tengok menerusi poster sahaja,” katanya.

M Parthiban, 56, dari Kuala Terla berkata mana-mana calon yang bertanding perlu melakukan sesuatu yang menarik perhatian pengundi agar muka mereka dapat diingati ketika mengundi kelak.

“Kena lakukan suatu yang kreatif dan nampakkan visi, kalau tak ada apa-apa, macam mana kami nak ingat (usaha) mereka?” tanya beliau.

Namun begitu Sam Kah Mun, 45, dari Ringlet pula berpendapat perang poster atau kibaran bendera di sesuatu kawasan boleh memberi petunjuk kepada calon dan parti yang sebenarnya mendapat sokongan.

“Mana-mana kempen pun calon memang kena turun padang tapi saya rasa bilangan bendera parti di sesuatu tempat itu, ia akan beri suatu gambaran sokongan politik di kawasan itu. Saya rasa itu perang psikologi yang perlu ada juga,” katanya.

Bermula hujung minggu ini, dijangka lebih ramai petugas dan jentera kempen dari kedua-dua parti yang bertanding akan berkampung di sini sebagai fasa terakhir kempen menarik sokongan pengundi kepada calon mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 22 Januari sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian pada 26 Januari yang menyaksikan seramai 32,009 termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya layak memilih pada PRK kali ini.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari BN dalam PRU14 bagi Parlimen itu terbatal dan tidak sah.- Bernama