Pasar Besar Machang pasar pertama di Kelantan ada terowong nyah kuman

Fadzli mencuba terowong nyah kuman yang disediakan di Pasar Besar Machang.
Fadzli mencuba terowong nyah kuman yang disediakan di Pasar Besar Machang.
A
A
A

MACHANG - Pasar Besar Machang menjadi pasar basah pertama di Kelantan yang mewujudkan terowong nyah kuman untuk orang ramai bagi mengelak penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, terowong tersebut dibina khas bagi memastikan tahap kebersihan di pasar tersebut.

Menurutnya, sebelum ini sanitari harian pasar telah bermula sejak hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun daerah Machang bebas daripada wabak Covid-19.

"Terowong nyah kuman itu dihasilkan oleh lapan kakitangan Majlis Daerah Machang (MDM) dan ia akan diperluaskan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar borong, pasar raya dan sebagainya.

"Pemilihan lokasi itu kerana MDM mendapati statistik pengunjung di pasar itu menurun sehingga 150 orang daripada sebelumnya iaitu 400 orang. Penurunan itu memberi kesan kepada 250 peniaga di pasar tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan terowong nyah kuman di Pasar Basah Machang di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Jajahan Machang yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha.

Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan peralatan pelindungan diri (PPE) kepada Hospital Machang, Pejabat Kesihatan Machang dan MDM untuk kegunaan mereka berdepan pelbagai risiko semasa keluar bertugas.

Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan memberitahu, di peringkat jajahan, pemantauan pematuhan PKP digerakkan melalui penubuhan 'task force' melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), MDM, Jabatan Sukarelawan Malaysia

Artikel Berkaitan:

(Rela), Pejabat Kesihatan Daerah dan juga Jabatan Penerangan.

Beliau juga berharap daerah ini akan mengekalkan status zon hijau sehingga dapat memutuskan rangkaian penyakit Covid-19.

Sementara itu, Wan Shuhaimi berkata, pihaknya bertungkus-lumus menyiapkan terowong tersebut walaupun berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan asas disebabkan kedai ditutup sepanjang PKP.

"Terowong ini dibina dalam masa tiga hari menggunakan kepakaran kakitangan kita. Kita akan perluaskan penggunaan terowong ini di tempat-tempat tumpuan orang ramai dan berharap semua pihak dapat berikan kerjasama terbaik untuk mengekang penyebaran wabak ini," katanya.