Waspada individu menyamar pegawai zakat!

Burhanuddin turun padang melakukan siasatan berhubung kes itu..
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan menipu mangsa berhubung perolehan bantuan zakat bulanan.

Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Burhanuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima beberapa maklumat dan aduan berhubung kes penipuan sebagai kakitangan LZNK itu.

Menurut beliau, pihak LZNK melalui Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) turun padang menjejaki antara mangsa penipuan, Kamariyah Ani,70, di Kampung Chepoh, Tanjung Seri, di sini, baru-baru ini.

"Kita difahamkan warga emas berkenaan hampir ditipu apabila didatangi seseorang tidak dikenali, memakai pakaian tidak formal dan mengaku kakitangan LZNK pada 12 Januari lalu.

"Warga emas itu menceritakan bahawa individu terbabit menyoal berkaitan maklumat isi rumahnya, siapa yang ada di rumah dan maklumat lain," katanya.

Katanya, mangsa menjelaskan individu terbabit mengetahui namanya sebelum mengatakan Kamariyah tidak layak menerima bantuan zakat.

Menurutnya, Kamariyah memberitahu dia berpeluang menerima bantuan bulanan LZNK sekiranya memberi wang RM100 kepada individu terbabit.

Namun, kata beliau, individu itu bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah yang memiliki kotak penyimpanan barang apabila Kamariyah memanggil salah seorang anaknya.

"Kita menerima makluman seorang lagi mangsa penipuan dikenali sebagai ‘Mak Teh’ berjaya diperdayakan pelaku sehingga mangsa kehilangan wang tunai RM100.

"Pelaku menggunakan modus operandi, iaitu ingin membantu mangsa membuka akaun bank dengan alasan mangsa layak menerima bantuan bulanan daripada LZNK dan akan dimasukkan ke dalam bank," katanya.

Burhanuddin berkata, mangsa yang tidak menyedari bahawa dirinya ditipu kemudiannya telah menyerahkan wang berkenaan.

Menurut beliau, sehingga kini, pelaku yang menyamar diri sebagai kakitangan LZNK terbabit masih diburu.

"Jadi, orang awam perlu melihat bukti-bukti yang jelas, seperti kenderaan LZNK, apa-apa bahan bercetak logo LZNK atau kad kuasa diserahkan kepada penolong amil kariah yang dilantik LZNK sekiranya didatangi individu mendakwa kakitangan LZNK," katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan bagi mengelakkan orang awam ditipu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Untuk makluman, prosedur siasatan kakitangan LZNK, kebiasaannya siasatan dijalankan dua orang kakitangan, yang mana sekiranya permohonan lulus, nama penerima akan dipaparkan di papan kenyataan LZNK di kariah masjid masing-masing," katanya.

Burhanuddin berkata, beliau berharap pemohon atau penerima bantuan juga boleh ke kaunter Pejabat Zakat Daerah yang berdekatan untuk maklumat lanjut.