Jadikan tempoh lanjutan PKP sebagai 'ceria berkurung': Zahid Hamidi

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bermula 15 April hingga 28 April ini sebagai usaha mengawal penularan Covid-19. - Foto Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bermula 15 April hingga 28 April ini sebagai usaha mengawal penularan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dijadikan sebagai tempoh 'ceria berkurung' bagi mengeratkan hubungan dan memperkasakan institusi kekeluargaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagi mengelakkan isu gangguan dan ketidakstabilan emosi ketika berada di rumah sepanjang tempoh PKP fasa ketiga ini.

“Saya menyeru kepada ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak menjadikan tempoh pelanjutan sebagai ‘ceria berkurung’ bagi mengeratkan hubungan dan memperkasakan institusi kekeluargaan.

“Jika perkara ini tidak diendahkan dan ditangani dengan baik ia akan mencetuskan perbalahan dan keganasan dalam rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan di Telegram hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang menggesa setiap negara untuk bertegas menjamin keselamatan rumah tangga dan wanita.

Ahmad Zahid berkata, menurut Antonio Guterres, data menunjukkan perintah berkurung bagi membendung (koronavirus) Covid-19 secara tidak langsung meningkatkan kes jenayah rumah tangga dan menggesa diwujudkan keamanan di setiap rumah.

Katanya lagi, Kongres Wanita Kebangsaan India pula melaporkan, negara itu mencatat peningkatan keganasan rumah tangga dua kali ganda pada minggu pertama perintah berkurung.

“Kes di Perancis turut meningkat tiga kali ganda dalam tempoh seminggu perintah berkurung dan di Australia, pencarian internet mengenai sokongan bagi kes keganasan rumah tangga meningkat 75 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kes keganasan rumah tangga di negara kita tidak meningkat seperti di India, Perancis dan Australia ketika tempoh PKP seperti mana kenyataan Kementerian Wanita dan Keluarga namun, perkara ini tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mekanisme dan inisiatif pencegahan perlu diterokai bagi membendung gangguan emosi ketika di rumah yang membawa kepada keganasan rumah tangga semasa dan selepas PKP.

“Saya sarankan kepada Kementerian Wanita dan Keluarga mengambil langkah-langkah antaranya, talian khas kaunseling Covid-19 dikendalikan Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu ditingkatkan perkhidmatannya dengan menambah bilangan kaunselor perkhidmatan telekaunseling, tidak memadai hanya dengan 528 kaunselor ketika ini.

“Menjalinkan kerjasama strategik dengan melantik pakar psikiatri luar, (badan bukan kerajaan) NGO berkaitan, rumah kebajikan dan perlindungan persendirian sebagai sukarelawan JKM setempat yang menawarkan perkhidmatan kaunseling dan telekaunseling kepada penduduk,” katanya.

Selain itu, katanya, selepas PKP berakhir, kaunselor dan pegawai JKM perlu ditempatkan di kawasan perumahan yang dikenal pasti berlakunya gangguan emosi dan keganasan rumah tangga yang tinggi bagi memudahkan rakyat mendapat mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara terus.

“Alhamdulillah, sebagai suami, bapa dan atuk sepanjang tempoh PKP ini, saya dapat memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti harian bersama anak-anak dan ahli keluarga serta melayan karenah, celoteh dan gurau- senda bersama cucu-cucu.

“Di samping menggunakan komunikasi maya sebagai platform bagi memastikan perjalanan dan aktiviti UMNO dan BN tetap berjalan. ‘Ceria berkurung’ dapat mengelak daripada gangguan emosi dan dapat membantu meningkatkan imuniti bagi mencegah jangkitan Covid-19,” katanya.