Video sesak di CIQ: Polis rakam keterangan Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu laman Facebook yang didakwa memuat naik kandungan video yang mencetuskan kegusaran orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah merakam keterangan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bagi membantu siasatan kelmarin.

"Gajet yang digunakan untuk memuat naik kenyataan di laman sosial itu turut dirampas dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Huzir memaklumkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Kita turut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed

Video yang tular itu memaparkan situasi bersesak-sesak melibatkan pekerja Malaysia dari Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menjelaskan bahawa video itu sebenarnya berkenaan latihan kebakaran yang dijalankan di CIQ pada 18 Disember 2019.

Video itu telah dimuat naik di laman Facebook Fuziah, sebelum diturunkan tidak lama kemudian.

Artikel Berkaitan:

Pentadbir laman Facebook berkenaan turut menyatakan permohonan maaf kerana memuat naik satu rakaman video lama.

Dalam kes berasingan Huzir menyatakan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman turut menyiasat berhubung ‘posting’ berbaur hasutan dan mengaibkan kerajaan oleh pemilik akaun Facebook, Wendy Shoo Wai Ching berkaitan isu Covid-19.

“Kita telah menangkap seorang wanita berusia 48 tahun semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

"Gajetnya juga telah dirampas,” katanya.

Menurutnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.