Beban ekonomi akibat Covid-19

A
A
A

LANGKAH menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh fraksi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada kaitan dengan wabak Covid-19 atau ekonomi.

Walaupun ketika rampasan kuasa itu berlaku, wabak tersebut sudah sampai ke Malaysia dan kesan buruk terhadap ekonomi telah mula dirasai, namun ia tidak timbul dalam perbahasan mengapa Bersatu perlu keluar daripada PH.

Yang dimanterakan ialah Bersatu akan kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang atau hanyut terus kalau kekal dalam PH kerana orang Melayu tidak boleh menerima DAP.

Fraksi yang menyokong Muhyiddin nampaknya amat yakin dengan mantera itu. Mereka membangkitkan kekalahan calon-calon Bersatu dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebagai contoh.

Itulah mantera mereka ketika mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu. Rayuan Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji beliau kepada PH telah tidak dihiraukan.

Sebaliknya, apa yang kini dikenali sebagai Langkah Sheraton telah diadakan sebelah malamnya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Itulah permulaan jatuhnya kerajaan PH yang dipilih oleh rakyat jelata dalam PRU14 pada 9 Mei 2018 dan tertubuhnya apa yang dipanggil kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hakikat bahawa pandemik Covid-19 telah mula merebak dan ekonomi negara sedang menuruti ekonomi global ke arah kemelesetan tidak menjadi pertimbangan utama. Matlamat Langkah Sheraton adalah politik semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Jadi, tidak hairanlah kalau kerajaan Perikatan Nasional nampak meraba-raba dalam menangani wabak Covid-19 dan menangani krisis ekonomi yang sedang melanda.

Nasib baiklah dalam hal pandemik Covid-19 ini negara mempunyai kepimpinan perkhidmatan awam yang sangat cekap di bawah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan perancangan yang diwarisi daripada kerajaan PH.

Laporan berita pada 9 April memetik Dr Noor Hisham sebagai berkata, bahawa kejayaan menangani Covid-19 adalah hasil perancangan bulan Disember lalu.

Kita wajib bersyukur kerana mempunyai seorang pegawai perkhidmatan awam yang berkaliber dan dihormati seperti Dr Noor Hisham.

Kaedah rawatan yang digunakan di negara kita nampaknya berkesan. Antaranya ialah kerana kita mempunyai banyak jenis penyakit berjangkit yang sudah ada ubatnya yang boleh dicuba ke atas pesakit Covid-19.

Ahli sains dan penyelidik antarabangsa telahpun membuat kajian dan mendapati imunisasi bagi beberapa penyakit seperti Baccille Calmette Guerin atau BCG untuk batuk kering boleh membantu memberi perlindungan sampingan terhadap Covid-19.

Yang lebih merisaukan ialah tahap kesiapsiagaan kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani isu ekonomi yang semakin meruncing.

Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid yang juga bekas Penasihat Ekonomi kepada Dr Mahathir berkata, walaupun Muhyiddin mengumumkan dua pakej rangsangan ekonomi dalam tempoh dua minggu, namun kesan kelewatan memberi bantuan kepada rakyat jelata sudah mula kelihatan.

Dalam analisis terbarunya di media massa, Dr Muhammed berkata, ramai pekerja telah hilang mata pencarian dan adalah tidak mustahil akan mengalami masalah mendapatkan makanan yang cukup dalam bulan puasa nanti.

Kesimpulannya, mengambil alih kerajaan tidak sukar bagi Muhyiddin. Mengawal Covid-19 pun rasanya tidaklah mustahil. Yang lebih mencabar adalah menyekat ekonomi negara daripada meleset ke tahap yang sukar dipulihkan semula pada waktu mana kebuluran akan menjadi kenyataan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara