'Tiada lagi ICERD, masa untuk bela golongan ketinggalan'

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
A
A
A
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengingatkan kerajaan agar usaha-usaha untuk mengurangkan sikap prejudis dan diskriminasi serta jurang kemiskinan antara kaum yang berbeza dan dalam kalangan kaum yang sama hendaklah diteruskan di bawah semangat perlembagaan yang sedia ada.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, tindakan tepat kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) disambut baik semua pihak.

Menurut beliau, kerajaan hendaklah juga melaksanakan reformasi institusi dan polisi yang bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi dan membina negara yang inklusif agar semua rakyat dapat menyumbang kepada kemakmuran negara sambil meneruskan tindakan afirmatif bagi golongan yang ketinggalan.

“Ikram mengalu-alukan kenyataan Pejabat Perdana bahawa kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan ini selari dengan pandangan Ikram yang berpendirian bahawa kerajaan tiada keperluan untuk meratifikasi ICERD dan keutamaan kerajaan seharusnya kepada usaha mereformasi institusi dan sistem-sistem dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan pendirian tegas kerajaan itu, Ikram berpendapat tiada keperluan lagi untuk mana-mana pihak meneruskan perhimpunan 8 Disember yang bertujuan membantah ICERD.

“Ikram menghargai penglibatan semua pihak yang memberi pandangan sama ada daripada parti-parti kerajaan, parti-parti pembangkang mahupun NGO dan tokoh-tokoh individu dalam memberi pandangan ke atas perkara ini secara matang dan rasional.

“Ikram menyeru agar semua pihak kembali bertenang sambil mengutamakan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: