Umno bukan rumah tumpangan anak ayam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat mengingatkan bahawa Umno adalah parti keramat dan bukanlah ‘homestay’ atau rumah tumpangan untuk anak ayam yang boleh keluar masuk sesuka hati demi kepentingan hawa nafsu sendiri.

Jelas beliau, Umno adalah parti Melayu terbesar yang telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, mempertahankan kedudukan Agama Islam dan hak keistimewaan kaum bumiputera sekaligus memperjuangkan Institusi raja berperlembagaan.

“Maka dengan daulat institusi ini dan keramat parti kita, penderhaka dan pengkhianat kepada agama dan bangsa harus di layan dengan tegas dan pantas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengenai enam ahli Parlimen berhasrat kembali semula ke dalam Umno kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka dibuat akhir bulan lalu.

Difahamkan sudah ada perbincangan antara keenam-enam ahli Parlimen itu dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Seri Ikmal Hisham (Tanah Merah) dan Datuk Mohamad Fasiah (Sabak Bernam).

Sehubungan itu, Tengku Putra Haron berkata, sekiranya mereka ingin memohon kembali menjadi ahli maka Majlis Tertinggi merayu supaya tindakan moratorium dikenakan terhadap pemimpin terbabit.

“Mereka tidak boleh kembali memegang jawatan dalam parti yang mereka sandang sebelum mereka meninggalkan Umno. Mereka tidak boleh bertanding atau memegang apa-apa jawatan atas perlantikan selama dua penggal Umno iaitu enam tahun.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka tidak boleh dicalonkan semula dalam pilihanraya umum yang akan datang untuk sepenggal iaitu hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-16. Kepulangan mereka ke parti Umno mestilah hanya sebagai Ahli Parlimen dan ahli Umno biasa bernombor siri keahlian yang baru dan bukan yang dahulu,” tegas beliau.