Pamer sijil penyembelihan, tapi tiada sijil halal

Mohd Ridzuan bersama timbalannya, Sapiah Mohd Noor menunjukkan tanda halal yang digunakan salah sebuah restoran makanan India yang diperiksa tadi.
Mohd Ridzuan bersama timbalannya, Sapiah Mohd Noor menunjukkan tanda halal yang digunakan salah sebuah restoran makanan India yang diperiksa tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Sebuah restoran makanan terkenal didapati menggunakan logo halal yang mengelirukan khususnya kepada golongan Muslim.

Hal itu dikesan dalam operasi bersepadu yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, restoran yang terletak di Little India itu menyediakan menu yang memaparkan tanda halal.

Menurutnya, setelah diperiksa, restoran terbabit tidak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Pemeriksaan mendapati, restoran yang menyediakan makanan India ini tidak mempunyai sijil halal.

"Bagaimanapun, pada menu makanannya terdapat logo halal yang mana, ia akan mengelirukan pelanggannya khususnya orang Islam," katanya kepada media tadi.

Selain restoran terbabit, sebuah restoran nasi beriani di kawasan yang sama juga tidak mempunyai sijil halal namun menggunakan sijil pengesahan penyembelihan dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Sijil itu digantung di bahagian kaunter restoran terbabit yang mana, turut diletakkan peralatan ritual agama lain.

"Sijil pengesahan penyembelihan hanya dikeluarkan kepada individu sahaja, bukan untuk dipamerkan di restoran atau kedai makan," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, restoran beriani ketiga yang diperiksa turut melakukan kesalahan apabila didapati menggantung ayat suci al-Quran dalam restoran terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan restoran ketiga ini adalah melakukan representasi yang boleh memperdaya atau mengelirukan iaitu menggantung ayat suci al-Quran sedangkan ia tidak mempunyai sijil halal dari JAKIM.

"Kesemua restoran ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana membekalkan makanan dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan atau mengelirukan orang bahawa makanan itu halal dan serta boleh dimakan oleh orang Islam," katanya.

Tambahnya, empat restoran diperiksa iaitu hanya tiga disyaki melakukan kesalahan berhubung sijil halal.

"KPDNHEP telah mengambil tiga kes dan akan diserahkan Timbalan Pendakwa Raya sama ada akan dikenakan kompaun atau dijadikan kes mahkamah.

"Sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan Bahagian Pelesenan MBPP ke atas ketiga-tiga restoran yang diperiksa kerana kesalahan berkaitan kebersihan dan pematuhan lesen," katanya.

Sebanyak 45 buah restoran dan kedai makan diperiksa sejak operasi dijalankan sejak 13 Januari lalu.

Operasi tersebut akan berterusan sehingga hujung bulan ini susulan isu logo halal yang mengelirukan digunakan oleh restoran telah tular di media sosial.

Artikel Disyorkan