Sabah perketat kawalan sempadan elak penularan Rabies

No Image Caption
A
A
A

PENSIANGAN - Sabah akan terus memperketatkan kawalan di pintu sempadan khususnya daerah berdekatan dengan negara jiran seperti Nabawan, Sipitang, Tawau, dan Kalabakan bagi mengelak penularan wabak rabies ke negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Dr Daud Yusof berkata kerajaan negeri juga mempergiat usaha melakukan suntikan vaksinasi untuk anjing di daerah bersempadan negara jiran.

"Tahun lalu, kita dikejutkan dengan mangsa pertama wabak rabies di Kuching, Sarawak. Penyakit ini dikesan dari Tebedu Kalimantan (Indonesia).

"Tebedu adalah laluan utama rakyat Sarawak untuk ke situ yang jaraknya hanya 63.2 kilometer," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Vaksinasi Rabies anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Wilayah Keningau di Pagalungan, dekat sini, hari ini.

Sebanyak 500 ekor anjing terdapat di kampung berhampiran sempadan negara jiran seperti Kampung Bantul, Pagalungan hingga ke Jeti Salung diberi suntikan vaksinasi mulai Selasa dan berakhir esok.

Dr Daud berkata program suntikan vaksinasi itu bertujuan mengelak anjing yang terdapat di negeri ini dijangkiti wabak tersebut, selain langkah berwaspada dan berjaga-jaga meskipun Sabah bebas daripada wabak rabies sejak 2004.

Beliau turut menggesa agensi berkaitan khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri supaya sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan memperketat pemantauan di semua pintu masuk ke negeri ini.

Kesemua anjing yang dibawa masuk ke Sabah perlu melalui proses kuarantin sebelum disahkan selamat daripada sebarang bawaan penyakit, katanya.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga perlu memahami dan mematuhi undang-undang sedia ada. Haiwan dari luar negara perlu melalui pemeriksaan khusus terlebih dahulu sebelum dibawa masuk untuk dipelihara," katanya. - Bernama