X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan benarkan sektor pembinaan, perkilangan beroperasi tepat

Saharuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian kepada salah seorang wakil keluarga memerlukan di PPR Maluri, Cheras hari ini. -Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan memberi kebenaran beberapa sektor perniagaan termasuk pembinaan dan perkilangan kembali beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga adalah tepat.

Presiden Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan dan Perubatan Bakti Malaysia Cawangan Titiwangsa, Datuk Seri Saharuddin @ Shaha Al Yahya berkata, keputusan membenarkan sektor pembinaan dan perkilangan beroperasi penting bagi mengelakkan warga asing menyumbang kepada peningkatan jenayah susulan sumber pendapatan mereka terjejas ketika ini.

Menurutnya, umum mengetahui warga asing paling ramai bekerja dalam dua sektor penting itu dan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu secara tidak langsung menjejaskan pendapatan mereka.

"Saya bukan hendak melebih-lebihkan pekerja asing, namun sekiranya golongan ini tidak dibenarkan bekerja di sektor masing-masing, mereka dibimbangi boleh menyumbang peningkatan jenayah susulan tiada wang untuk mengharungi tempoh PKP.

"Lebih penting, golongan warga asing ini tidak menerima manfaat atau sumbangan daripada kerajaan sebagaimana rakyat negara ini.

"Justeru, saya fikir eloklah dua sektor itu dihidupkan kembali bagi memastikan mereka boleh kembali bekerja dan tidak menyumbang kepada peningkatan jenayah pada tempoh PKP disambung sehingga 28 April ini," katanya kepada media di sini hari ini.

Saharuddin berkata demikian sewaktu mewakili Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan dan Perubatan Bakti Malaysia Cawangan Titiwangsa menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas kepada 200 keluarga memerlukan di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Maluri, Cheras.

Selain sumbangan disalurkan kepada rakyat negara ini yang berdepan kesukaran sepanjang tempoh PKP, Saharuddin berkata, badan bukan kerajaan (NGO) diwakilinya itu turut membantu beberapa warga asing terjejas.

"Penyaluran sumbangan kepada golongan memerlukan akan diteruskan dengan NGO kami sudah mengenal pasti sejumlah 120 keluarga di Hulu Beranang, Sepang untuk turut diagihkan bantuan pada minggu hadapan.

"Kami turut merayu kerjasama lebih banyak syarikat korporat dan badan persendirian prihatin untuk bersama-sama membantu NGO kami merealisasikan hasrat membantu seramai mungkin golongan memerlukan yang terkesan sepanjang PKP ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!