Pekarangan Mahkamah KL aman, tiada himpunan #solidariti4azeez

Beberapa penyokong sempat bertemu dengan Abdul Azeez (depan) sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.
Beberapa penyokong sempat bertemu dengan Abdul Azeez (depan) sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada himpunan #solidariti4azeez di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur, sebagai tanda sokongan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebaliknya, hanya Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam bersama kira-kira 10 penyokong sahaja hadir memberi sokongan.

Antara penyokong Abdul Azeez yang hadir di Mahkamah Kuala Lumpur.
Antara penyokong Abdul Azeez yang hadir di Mahkamah Kuala Lumpur.

Tinjauan Sinar Harian sejak jam 8.30 pagi mendapati keadaan di pekarangan mahkamah dalam keadaan tenang dan tiada sebarang aktiviti himpunan berlangsung.

Terdahulu, dilaporkan satu poster berhubung akan berlangsungnya himpunan solidariti untuk Ahli Parlimen Baling itu pada jam 8.30 pagi.

Namun, sehingga selesai perbicaraannya, tiada sebarang himpunan berlangsung.

Abdul Azeez meninggalkan mahkamah kira-kira jam 1.10 petang.

Hari ini, Abdul Azeez didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dipercayai berkaitan dengan kontrak agensi itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat pembinaan itu mendapatkan beberapa projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah secara rundingan terus dan tender terhad.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Azeez bersama abangnya, Datuk Abdul Latif pada jam 4.30 petang.

Pada 22 Mei tahun lalu, SPRM dalam serbuan ke atas kediaman dan pejabat Azeez telah merampas wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 jam tangan, dan lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan anggaran nilai tukaran RM1.2 juta.

Manakala pada September lalu, Azeez direman selama 10 hari membantu siasatan kes rasuah membabitkan kontrak Tabung Haji (TH).

Turut direman, abang dan sepupu sementara anak sulungnya, ditahan beberapa jam sebelum dibebaskan.