MPT, JPV bekerjasama tangani Rabies

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan bersepadu dan kawalan bagi menangkap anjing liar yang berkeliaran dalam usaha menangani penularan wabak anjing gila atau rabies di bandar warisan ini.

Yang Dipertua MPT, Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, operasi menangkap anjing liar yang dilakukan dari semasa ke semasa itu adalah untuk memastikan kawasan bebas daripada wabak anjing gila.

“Kita juga akan bertindak jika menerima aduan daripada orang ramai mengenai ancaman anjing liar di kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, pemilik anjing yang mahu mendapatkan vaksin atau menyuntik anjing peliharaan mereka bagi mencegah penyakit anjing gila boleh berhubung dengan JPV bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Ditanya mengenai kemungkinan wabak penyakit anjing gila boleh menjejaskan industri pelancongan di bandar warisan itu, beliau berkata adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia menjejaskan pelancongan di sini atau tidak.

“Wabak ini hanya dikesan di kawasan taman perumahan dan bukannya berlaku di keseluruhan bandar ini dan ia adalah terkawal,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Taiping setakat ini manakala dua mangsa yang digigit anjing positif rabies di Taiping pada 25 Disember tahun lepas tidak menunjukkan gejala penyakit itu.

Isnin lalu, Mukim Taiping dan Bukit Gantang di Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel yang diambil di kawasan itu didapati positif wabak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dilaporkan berkata, ia diputuskan susulan ujian dilakukan JPV selepas menerima maklumat pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Dis lepas.

Menurutnya, pengadu berkenaan melaporkan bahawa dua anggota keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu sudah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari lepas.

Pada 4 Januari, sampel otak daripada anjing itu telah diuji dan disahkan positif terhadap penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh. - Bernama