Kelengkapan 'serius' untuk anggota ATM bertugas di kawasan PKPD

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika ditemui media selepas membuat pemeriksaan kawat duri yang dipasang sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika ditemui media selepas membuat pemeriksaan kawat duri yang dipasang sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diarahkan untuk memakai kelengkapan 'serius' dalam menjalankan tugas.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, kelengkapan berkenaan termasuk pemakaian helmet dan penggunaan senjata dalam memastikan keselamatan anggota di barisan hadapan.

"Sebenarnya anggota ATM yang bertugas di kawasan PKPD memang diarahkan untuk memakai combat helmet bagi keadaan tertentu dalam mengetatkan kawalan.

"Anggota yang membuat pengawasan ini mesti dilengkapi peralatan yang lebih serius termasuk membawa masuk senjata," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial semalam mengenai anggota tentera memakai helmet untuk elak air kencing warga asing di kawasan PKPD iaitu di Selangor Mansion.

Affendi berkata, pemakaian kelengkapan anggota yang 'serius' itu bagi memastikan keselamatan anggota selain memberi kesedaran kepada orang ramai yang masih ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menerima laporan berhubung perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion yang membaling objek seperti botol, bungkusan sampah serta pasu bunga terhadap anggota tentera yang bertugas memasang 'concertina wire' di kawasan itu.

Beliau bagaimanapun dilaporkan berkata, tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan kejadian anggota tentera dibaling dengan air kencing warga asing.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Affendi bersama Mazlan meninjau keadaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan mendapati kadar pematuhan PKP amat baik di kawasan itu. - Bernama