WDG sumbang 1 juta topeng muka kepada agensi media

Ketua Pegawai Eksekutif Winner Dynasty Group Sdn Bhd, Datuk Danny Lee (kiri) menyampaikan sumbangan penutup muka kepada organisasi media yang diwakili Pengurus Kanan Tugas-tugas dan Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (kanan) - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Ketua Pegawai Eksekutif Winner Dynasty Group Sdn Bhd, Datuk Danny Lee (kiri) menyampaikan sumbangan penutup muka kepada organisasi media yang diwakili Pengurus Kanan Tugas-tugas dan Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (kanan) - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

PUCHONG - Bagi menghargai jasa petugas, syarikat pengurusan sumbangan dana dan pelaburan, Winner Dynasty Group Sdn Bhd (WDG) memberi sumbangan satu juta topeng muka kepada 19 organisasi media.

Pengerusinya, Datuk Seri Liow Soon Hee berkata, bantuan fasa kedua itu diberikan selepas pihaknya mendapati keperluan topeng muka adalah mendesak selain niat membantu kerajaan Malaysia atas tanggungjawab korporat.

Menurutnya, sebelum ini menerusi bantuan fasa pertama, agihan sumbangan sebanyak 500,000 topeng muka telah diberikan kepada petugas barisan hadapan dan pelajar sekolah.

"WDG tampil untuk terus membantu dan melalui bantuan fasa kedua ini, WDG memperuntukkan 1 juta topeng muka khas untuk warga kerja media melalui organisasi yang dipilih.

"Peruntukan kali ini lebih besar berikutan sumbangan besar warga media kepada masyarakat," katanya selepas majlis penyerahan topeng muka kepada wakil agensi media di pejabatnya di Setia Walk, Pusat Bandar Puchong di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang mewakili Karangkraf bagi menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif WDG, Datuk Danny Lee.

Soon Hee berkata, selain agensi media, pihaknya juga menyumbangkan topeng muka kepada Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Sumbangan itu akan diagihkan kepada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini giat menjalankan proses sanitasi atau nyah kuman di kawasan awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, WDG bertekad untuk terus komited membantu kerajaan membasmi pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

"Sumbangan fasa kedua ini akan dilaksanakan dengan kadar segera kerana warga media sangat memerlukannya. Sehingga kini WDG telah mengagihkan 1.5 juta topeng muka," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, WDG adalah antara syarikat korporat yang terawal menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan Malaysia bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bersama menangani virus Covid-19.

Katanya, sebelum wabak Covid-19 diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Bangsa-Bangsa Bersatu (WHO) di seluruh dunia, WDG atas semangat setia kawan dan rakan perniagaan telah terlebih dahulu membantu warga China dengan menyumbang lebih 1 juta topeng muka yang diedarkan di 31 buah wilayah dan bandar di China.

"WDG telah bermula lebih awal dengan inisiatif membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dan telah mengedarkan 500,000 topeng muka sejak 10 Mac lalu.

"Selain sumbangan kepada kakitangan di hospital, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia sumbangan juga telah dibuat kepada Hospital Selayang, Kerajaan Negeri Perak, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak, Pusat Khidmat Aduan MCA dan SJK (C) Kheng Chee, Puchong," katanya.