ASEAN akan tubuhkan Tabung Khas Covid-19

Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju mewujudkan Tabung Khas ASEAN Covid-19 bagi memerangi pandemik Covid-19 di rantau berkenaan. - Foto 123RF
Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju mewujudkan Tabung Khas ASEAN Covid-19 bagi memerangi pandemik Covid-19 di rantau berkenaan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Menteri-Menteri Luar ASEAN telah bersetuju untuk mewujudkan Tabung Khas ASEAN Covid-19 bagi memerangi pandemik Covid-19 di rantau berkenaan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Thailand menyatakan penubuhan tabung berkenaan merupakan salah satu daripada hasil yang dicapai semasa Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-25 melalui sidang televideo semalam.

Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai dan rakan sejawatannya menyertai mesyuarat sidang televideo itu termasuk Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kementerian Luar memaklumkan tabung itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan perubatan dan menyokong penyelidikan dalam rawatan dan vaksin.

"Semua Menteri Luar ASEAN bersetuju untuk bergabung dalam usaha mengukuhkan kerjasama untuk memerangi Covid-19 di rantau ini.

“Mereka turut membincangkan langkah-langkah dan garis panduan untuk mengekang virus yang membawa maut itu," katanya.

Dalam mesyuarat itu, Menteri Luar ASEAN juga bersetuju untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada warga ASEAN yang tinggal di rantau itu dan di lain-lain negara.

“Selain itu, para menteri juga bersetuju untuk mengurangkan impak sosioekonomi termasuk pelan pemulihan ekonomi untuk membuka jalan kembali kepada keadaan normal,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada mesyuarat itu, menteri juga membincangkan persiapan untuk Persidangan Khas ASEAN+3 berhubung pandemik Covid-19 pada Selasa ini. - Bernama