Terima keputusan lanjut PKP secara positif

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bermula 15 April hingga 28 April ini sebagai usaha mengawal penularan Covid-19. - Foto Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bermula 15 April hingga 28 April ini sebagai usaha mengawal penularan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Malaysia perlu menerima dengan positif sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Afiqq Noh berkata, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh PKP sehingga 28 April ini bukanlah keputusan yang membabi buta atau melepaskan batuk di tangga dalam mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan tersebut menunjukkan kepada rakyat betapa seriusnya kerajaan mahukan wabak tersebut dibersihkan secara total di negara ini demi keselamatan semua tanpa mengira bangsa.

“Keadaan sekarang yang memberi gambaran kemungkinan rakyat tidak dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menunaikan solat tarawih sebagaimana kebiasaannya perlu diterima dengan positif oleh semua.

“Tidak dapat sambut hari raya secara beramai-ramai tidak mengapa asalkan kita semua selamat dengan syarat tidak keluar rumah dengan sewenang-wenangnya. Ini tanggungjawab kita membantu kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengajak semua pihak memberi kepercayaan kepada kerajaan yang sememangnya lebih tahu langkah-langkah terbaik untuk selamatkan negara ini.

Sementara itu, di IPOH, PERAK, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, golongan belia perlu mengambil kesempatan meneroka peluang perniagaan atas talian sekiranya tempoh PKP berlanjutan sehingga selepas raya.

“Menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, golongan belia khususnya boleh mengambil kesempatan menggunakan kemahiran yang ada untuk menjual produk-produk berkaitan menggunakan kreativiti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Jadikan tempoh panjang PKP sebagai peluang untuk meneroka peluang baharu dan bukan terus mengeluh atau terlalu bimbang terhadap situasi yang bakal berlaku,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP ini terdapat pelbagai inisiatif dilakukan oleh rakyat khususnya anak muda dalam usaha menjana pendapatan termasuklah menjalankan perniagaan atas talian menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya.

Katanya, inisiatif berkenaan juga menjadi sebagai salah satu persediaan ke arah cabaran lebih hebat pasca-PKP yang mana peluang pekerjaan akan semakin berkurangan selain syarikat juga dijangka mengecilkan operasi mereka.

“Jadi, inilah masa untuk mereka bersedia menempuh pasca-PKP. Perniagaan atas talian mungkin boleh menjadi salah satu sumber pendapatan dan pekerjaan selepas ini.

“Sudah tiba masanya kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melihat perkara ini secara serius dengan memberi bimbingan kepada mereka yang berminat dalam perniagaan atas talian secara sah,” katanya.