Bersabarlah untuk dua minggu lagi

A
A
A

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selama dua minggu, hingga akhir April.

Jangan komplen, jangan marah-marah, jangan berdegil. Jadilah warga yang baik, jangan melawan pihak berkuasa dan petugas.

Duduk di rumah dan buatlah apa yang patut.

BERITA baik: Malaysia telah diiktiraf sebagai antara terbaik dunia yang berjaya menangani dan menyekat penyebaran wabak Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tindakan proaktif Malaysia berserta dengan peralatan dan prasarana perubatan di negara ini adalah jauh lebih baik berbanding negara-negara maju lain di dunia.

Kalau tidak diberitahu oleh WHO pun kita dapat melihat betapa petugas barisan hadapan kita bertungkus-lumus sepanjang 24 jam, membantu apa yang terdaya.

Hasilnya ialah kadar kematian akibat wabak tersebut di tempat kita setakat ini masih rendah, tidak sampai dua peratus, sementara jumlah yang pulih sepenuhnya adalah tinggi.

BERITA tidak baik: Ketika mendapat pengiktirafan dunia, sesetengah orang kita sendiri tidak tahu menghargai langkah kawalan dan pencegahan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang dilaporkan media, masih terdapat ramai warga kita yang berdegil melanggar peraturan PKP.

Daripada pendekatan berlembut polis bertukar kepada pendekatan tegas, kemudian pendekatan berkeras. Tetapi ada yang keras kepala tidak mematuhi peraturan.

Kini polis tidak ada pendekatan lain kecuali mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada si kepala batu lagi bodoh sombong yang mengingkari PKP.

Tok harap mana-mana yang degil itu diajar dengan kompaun, kalau tidak mampu bayar dalam tempoh 14 hari sumbatkan mereka dalam penjara.

APA pun memang banyak yang baik daripada yang tidak baik sepanjang tempoh PKP selama sebulan ini.

Dalam musim susah ini, kita melihat banyak kerja sukarela dilakukan untuk membantu mereka yang memerlukan terutama di kawasan luar bandar.

Seperti dilaporkan media, setiap hari ada sahaja NGO-NGO dan orang perseorangan yang bermurah hati menghulurkan bantuan makanan dan perubatan kepada golongan tidak bernasib baik.

Mereka menghantar dan mengagihkan makanan kepada mereka yang tidak dapat keluar – dan tidak berduit – untuk membeli barang keperluan.

Ada juga kumpulan yang secara sukarela menghantar makanan kepada mereka yang terkurung di rumah.

TETAPI, ada juga yang tidak tahu bersyukur, tidak tahu berterima kasih atas jasa baik yang diusahakan oleh pihak yang prihatin.

Seperti dilaporkan media, pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur tidak mahu mengambil bungkusan makanan yang dihantar ke asrama mereka.

Kata mereka, makanan tidak sedap padahal ada nasi, sayuran dan ayam goreng. Orang seperti itu pun termasuk dalam kategori sombong, mereka patut dibiarkan kelaparan.

Sepatutnya dalam zaman susah seperti ini jangan memilih sangat, bersyukurlah apa yang kita dapat. Ada orang yang hanya mampu makan biskut kering dan air sejuk.

AKHIR kalam, ALLAH menganugerahkan rezeki kepada Tok, benda yang Tok tunggu sejak sekian lama.

Pada hari kedua PKP, Tok mendapat cucu pertama, seorang bayi lelaki lahir di wad bersalin Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Sekian lama menunggu dan lebih 10 tahun mendapat anugerah Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, akhirnya Tok betul-betul menjadi Atok. Gembira tidak terkira!

Tetapi sehingga kini sudah masuk sebulan, Tok tidak dapat lagi mencium cucu, malah hendak pegang dan mendukung pun belum berkesempatan. Sebab bayi dijaga oleh tok sebelah sana dan kita tidak boleh berjumpa sebab PKP.

Mujur ada kemudahan siber, perkembangan cucu dihantar melalui video setiap hari – pagi sekali petang sekali.

Boleh nampak dia menangis, menyusu. Tidur, gedik-gedik ketika dimandikan. Mudah-mudahan Covid-19 segera tamat, ingat sangat Tok nak mencium – kalau boleh hendak gigit – si montel itu.