Persediaan pasca Covid-19

A
A
A

MENGURUS krisis pandemik global seumpama wabak Covid-19 ini bukanlah mudah. Selagi vaksin kepada virus ini tidak ditemui, selagi itulah ‘perang’ terhadapnya tidak selesai.

Sebab itu usaha untuk memeranginya bukan sahaja ketika ia sedang menular, malah berterusan selepas pencegahan berjaya.

Penularan Covid-19 hanya mampu dikekang menerusi mekanisme kawalan – saringan, kuarantin dan penjarakkan sosial – sehinggalah vaksin ditemui. Sebab itu cabaran terbesar selepas PKP ialah tentang mekanisme kawalan itu dilakukan tanpa pemantauan seperti mana ketika PKP dikuatkuasakan.

Namun begitu, sekiranya PKP ditamatkan, tanpa kawalan sedemikian kebarangkalian Covid-19 menyerang kembali amat tinggi. Dengan sekolah, perkilangan, perindustrian serta premis perniagaan dijangka beroperasi semula sekaligus meningkatkan percampuran sosial, potensinya tetap ada.

Malah, pembukaan semula sempadanan negara akan turut mendedahkan kita dengan kes Covid-19 yang diimport masuk oleh mereka yang pulang semula ke tanah air ataupun warga asing. Sudahnya kita mungkin akan kembali semula kepada PKP disebabkan wabak gelombang kedua.

Tuntutan ekonomi dan tekanan sosial rakyat ketika ini amat mendesak supaya PKP ditamatkan. Kitaran kehidupan yang terganggu akibat pemberhentian aktiviti harian selama sebulan sudah cukup memeritkan. Sebab itu pilihan antara menyambung atau menamatkannya tidak mudah, walaupun data dan statistik kes yang ada nampaknya memperlihatkan PKP perlu diteruskan sebagai pilihan terbaik.

Sebab itu kalaulah PKP ditamatkan, mewujudkan suatu prosedur operasi standard (SOP) sangat penting sebagai persediaan pasca Covid-19. SOP itu akan membolehkan keseragaman punca kuasa serta koordinasi kawalan dan pemantauan dapat diteruskan dengan baik selepas PKP.

Setakat ini Wuhan, wilayah asal Covid-19 di China, telah berjaya menamatkan PKP dan diisytiharkan sebagai kawasan bebas wabak. Sungguhpun begitu, wilayah itu masih tetap berjaga-jaga untuk pasca wabak. Walaupun kehidupan telah kembali normal, mereka tidak memberhentikan langkah kawalan dan pemantauan dengan serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Antara persediaan pasca Covid-19 pihak berkuasa di Wuhan ialah memastikan sistem kesihatan tempatan sentiasa mempunyai sumber dan kakitangan yang mencukupi bagi meminimumkan risiko jangkitan gelombang kedua serta meneruskan kawalan dan pemantauan pergerakan di kawasan tumpuan umum seperti sekolah, hospital, pasar raya dan sebagainya.

Disediakan juga kawasan khusus untuk menyaring orang ramai menerusi kaedah pengambilan suhu badan dan proses nyahkuman di setiap pintu masuk ke kawasan tersebut.Memetik kenyataan penyelidik kesihatan daripada Universiti Hong Kong, Dr Gabriel Leung terhadap situasi semasa pasca Covid-19 di China, beliau melihat cabaran terbesar selepas tamatnya PKP ialah keterbatasan sumber penjagaan dan perkhidmatan kesihatan sekiranya gelombang kedua wabak itu melanda.

Menurutnya, sekiranya kawalan diberhentikan, jangkitan baharu mungkin timbul disebabkan wabak yang berasal dari kawasan lain. Sifat wabak gelombang kedua selalunya akan merebak dengan lebih pantas dan sukar dikawal.

Secara tersirat, beliau cuba memberitahu, kalau gelombang pertama wabak Covid-19, dengan semua mekanisme kawalan dan pencegahan itupun sudah menyeksakan, apatah lagi wabak gelombang kedua jika kita leka selepas berjaya mengharunginya di peringkat awal.

* Mujibu Abdul Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara