Tiada kes rabies dalam kalangan manusia dikesan: KKM

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak ada kes rabies atau penyakit anjing gila dalam kalangan manusia yang dikesan dalam kawasan diwarta wabak rabies, Mukim Taiping dan Bukit Gantang setakat ini.

Bagaimanapun, status kesihatan dua mangsa gigitan anjing peliharaan keluarga mereka di Taman Seri Kota, Fasa Dua, Pokok Assam, Taiping pada 25 Disember lalu terus dipantau KKM meskipun sudah diberikan vaksin rabies.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua mangsa dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 25 Disember lalu dan dibenarkan pulang pada keesokkan hari selepas menerima rawatan bagi kecederaan dialami.

Menurutnya, mangsa pertama merupakan seorang wanita berusia 50 tahun dan mangsa kedua adalah seorang lelaki berusia 25 tahun.

"Anjing yang menggigit mangsa dilupuskan oleh pemiliknya pada 3 Januari 2019 dan sampel daripada anjing berkenaan disahkan positif rabies pada 4 Januari 2019 oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

"Berikutan itu, mangsa gigitan diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin. Status kesihatan kedua-dua mangsa gigitan ini terus dipantau dan buat masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan rabies," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil maklum siaran media Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang telah mengumumkan bahawa Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies berkuatkuasa pada 14 Januari 2019.

Menurutnya, pewartaan ini adalah susulan daripada empat anjing daripada kawasan itu disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah menjalankan survelan anjing liar di lokaliti terbabit pada 11 Januari 2019 dan mendapati tiga daripada 30 sampel anjing adalah positif rabies.

"KKM ingin menasihati orang awam terutamanya di daerah Larut Matang dan Selama agar mengambil langkah-langkah pencegahan ditetapkan pihaknya bagi mengelakkan daripada penyakit rabies di samping mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

"KKM dan Jabatan Kesihatan Perak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan Perak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.