Covid-19: ATM perkukuh, perketat kawalan sempadan negara

Affendi Buang
Affendi Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuh dan memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi sebarang situasi terutama ketika Malaysia kini menghadapi wabak itu.

Beliau berkata, pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus.

“Perkara ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan Covid-19 manakala semasa penguatkuasaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa.

“Dalam kawalan persempadanan negara, ATM berkolaboratif bersama Polis Diraja Malaysia terutamanya melibatkan Pasukan Gerakan Am serta agensi keselamatan lain yang bukan sahaja membabitkan kawalan persempadanan darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, malah turut melibatkan kawalan di persempadanan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Affendi berkata, dengan pengarahan terbaharu dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan darat, laut dan udara supaya berada pada tahap tinggi.

“Setiap peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan semasa terutama atur gerak operasi semasa dikuatkuasakan.

“Adalah ditegaskan dengan pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara ia tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam operasi untuk menguatkuasakan PKP dan PKPD,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin dalam perutusan khas mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Panglima ATM; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som; Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan supaya memperketat kawalan di sepanjang sempadan negara.

Perdana Menteri berkata, ia bagi mengelak kemungkinan pendatang asing tanpa izin daripada bolos melalui lorong tikus dan membawa virus masuk ke negara ini. - Bernama