Sila log masuk terlebih dahulu.

Ustaz Ebit Lew selamatkan warga emas tinggal di medan selera

Paparan Facebook Ustaz Ebit Lew mencuri perhatian netizen dan tular di laman sosial.
Paparan Facebook Ustaz Ebit Lew mencuri perhatian netizen dan tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas yang 'tinggal' di Medan Selera Sri Rampai di sini selama enam bulan diselamatkan oleh penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Facebook rasminya, beliau menerima berita itu dari seorang lelaki bernama Najmuddin memaklumkan lelaki sudah berusia itu telah tidur di medan selera selama enam bulan.

Kata Ebit Lew, sejurus menerima mesej itu, beliau bergegas ke lokasi dan terkejut melihat keadaan lelaki itu tidak berupaya.

"Lelaki ini berumur dah dekat 80 tahun. Kakinya bengkak teruk tak boleh bergerak.

"Setelah berbual kami mengikut kata pakcik tu kami ke rumahnya dan juga cari tempat kerja anak-anaknya.

"Semua tak dapat dikesan. Tapi saya rasa pakcik tu ada masalah ingatan agaknya, kad pengenalan semua tiada," katanya pantas menarik perhatian orang ramai.

Dalam pada itu, beliau telah membawa warga emas tersebut ke Klinik Desa Pandan.

"Syukur semua doktor dan jururawat membantu. Rupanya pakcik ni ada masalah jantung dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Pernafasan dah teruk kena pakai oksigen, pinggang dan kaki juga sakit. Dia tak mengadu sakit pun. Rupanya dah teruk kesihatannya. Allahuakbar. Ramainya orang begini. Orang susah tapi sembunyikan sakit dan susah ditanggung," katanya.

Jelasnya, berharap agar warga emas itu kembali sihat dan orang ramai teruskan berdoa kesejahteraannya.

Rata-rata netizen mendoakan agar warga emas itu bertemu keluarganya terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan orang ramai.

"Semoga pakcik segera sembuh dan dipermudahkan bertemu keluarganya dan terima kasih ustaz hanya ALLAH yang akan membalas jasa baikmu," kata Ismail.

Malah ada juga netizen mempersoalkan bagaimana warga emas itu boleh tinggal di medan selera selama enam bulan tanpa dibantu.

"Maaf berbicara, tapi kalau pakcik tu dah 6 bulan di situ, tak kan lah tiada yang berdekatan bantu dia. Allahu kesiannya, Alhamdulillah, ALLAH datangkan bantuannya juga," Chomel Mohamad.

Kata Nure Rosa, "6 bulan tidur dekat food court (medan selera), tiada siapa peduli. Betullah ALLAH duga kita dengan Covid-19 supaya kita muhasabah diri dan golongan begini dapat dibantu. Ramai dah golongan susah Ustz Ebit bantu... terima Kasih ustaz dan para penderma."