Polis tumpas sindiket curi kenderaan RM200,000 di Miri

A
A

MIRI - Polis menumpaskan satu sindiket digelar ‘Lakia Teck’ yang mencuri serta menyamun pelbagai jenis kenderaan dianggarkan bernilai RM200,000 di sini dengan penahanan lima suspek bulan ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek ialah lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 48 tahun ditahan di sini dan Marudi dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut selama enam bulan serta mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis telah merampas lapan kenderaan pelbagai jenis iaitu dua buah lori, dua buah Perodua Viva, sebuah Hilux, sebuah Land Cruiser, sebuah van dan sebuah motosikal,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hari ini.

Beliau berkata kelima-lima suspek termasuk seorang pembeli telah ditahan reman untuk membantu siasatan, selain mencuri serta menyamun kenderaan, sindiket itu turut terlibat dalam kes pecah rumah.

Lim berkata, hasil siasatan awal polis mendapati kenderaan serta bahagian tertentu dalam kenderaan yang dicuri tersebut dijual kepada pembeli di kawasan pedalaman dengan harga yang lebih murah.

“Contohnya sebuah kenderaan Hilux model baharu dijual dengan harga RM12,000 manakala kenderaan lain seperti Viva dijual dengan harga lebih murah daripada itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394, 379 (a) dan 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun mendatangkan kecederaan, curi serta pecah rumah.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata, kesedaran orang awam di sini untuk memaklumkan kepada polis tentang ketiadaan mereka di rumah semasa cuti panjang perayaan masih kurang.

“Saya meminta pemilik atau penghuni rumah mengisi borang yang ada di balai supaya rondaan 24 jam boleh dilakukan di kawasan perumahan mereka,” katanya sambil menambah Polis MPV serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan melakukan rondaan dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata berdasarkan statistik, kebanyakan kes pecah rumah berlaku di kawasan yang tidak dimaklumkan kepada polis mengenai kekosongan rumah manakala tiada kes pecah rumah berlaku di kawasan perumahan yang telah dimaklumkan kepada polis. - Bernama