Kajian: Rakyat setuju kerajaan lakukan tugas terbaik kekang Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih daripada 90 peratus rakyat Malaysia amat bersetuju bahawa kerajaan dan pegawainya sedang melakukan tugas yang amat baik dalam mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Satu kajian yang dijalankan sebuah syarikat kajian, IPSOS baru-baru ini menunjukkan organisasi kesihatan kebangsaan (94 peratus), kerajaan (91 peratus), selain, pihak berkuasa kesihatan tempatan dan wilayah (91 peratus), telah mengambil langkah-langkah berkesan dalam mengawal penularan virus itu.

World Health Organization (WHO) juga telah dianggap sebagai 86 peratus efektif.

Bagaimanapun mengikut laporan itu, hanya 78 peratus dalam kalangan ahli perniagaan di Malaysia menganggap usaha yang dijalankan kerajaan dan pegawainya berkesan.

Sementara itu, kajian itu juga mendapati 63 peratus rakyat Malaysia tidak merasakan yang liputan media berkaitan wabak ini dibesar-besarkan, manakala 37 peratus lagi berpandangan sebaliknya.

Kajian itu menambah mereka yang percaya yang media telah memperbesarkan laporan berkaitan Covid-19 adalah mereka yang berusia di bawah 35 tahun, berpendapatan dan tahap pendidikan yang rendah.

Sementara itu, mengikut kajian itu, kebanyakan rakyat Malaysia secara amnya bersetuju dengan langkah kuarantin sepenuhnya atau pengasingan kendiri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan risiko virus tersebut.

“Hanya lima peratus menganggap ia satu reaksi berlebihan, kuarantin sepenuhnya keterlaluan dan tidak akan menyelesaikan penularan wabak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu juga menunjukkan terdapatnya optimis yang kuat mengenai keadaan akan kembali ke normal pada Jun, di mana kawasan yang paling yakin ialah di Asia Pasifik, termasuk Malaysia.

“Sejumlah 68 peratus rakyat Malaysia berkongsi pandangan yang sama ... dengan majoriti datang dari segmen pendapatan rendah dan kumpulan orang muda,” menurut kajian itu. - Bernama