X

Kindly register in order to view this article
!

Gelandangan ditawar kerja selepas PKP: Annuar

Tan Sri Annuar Musa - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Gelandangan akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan beberapa syarikat sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Menurutnya, 800 gelandangan yang kini diselamatkan dan ditempatkan di penempatan sementara serta Anjung Singgah akan melalui proses saringan dan latihan jangka masa pendek.

"Telah ada beberapa syarikat sedia ambil mereka yang sesuai, sihat tubuh badan dan produktif. Ada 500 hingga 700 peluang pekerjaan termasuk operator pengeluaran di sekitar Lembah Klang.

"Tapisan akan dibuat mengikut kesesuaian sama ada bekerja sebagai operator dengan gaji RM1,400 beserta elaun atau pekerja am dengan gaji harian dianggarkan RM1, 200 hingga RM1, 400 di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya di Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Katanya, mereka akan ditawarkan pekerjaan sejurus selepas tamat PKP dan ditempatkan di asrama pekerja.

"Mereka tidak akan dilepaskan untuk bergelandangan lagi. Mereka akan jalani latihan, saringan dan kesesuaian.

"Mereka dijangka memulakan kerja pada 1 Mei namun bergantung kepada tempoh PKP sama ada dilanjutkan atau tamat," katanya.

Terdahulu, gelandangan di ibu negara diselamatkan dan ditempatkan di pusat gelandangan termasuk empat penempatan sementara sepanjang PKP sebagai langkah membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Selain diberikan tempat tinggal, kesemua gelandangan itu diberikan makan dan minum serta kemudahan asas termasuk khemah (kubik) bagi setiap seorang bagi tujuan penjarakan sosial dan privasi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!