Rakyat kita tak rasa selamat di negara sendiri?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melantik satu badan bebas bagi mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata meskipun indeks jenayah negara menurun saban tahun, persepsi rasa selamat rakyat di negara ini belum berada pada tahap yang memuaskan.

“Saya telah arahkan pihak R&D (penyelidikan dan pembangunan) PDRM dan JPJKK (Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti) kenal pasti satu badan bebas yang akan mengkaji tahap persepsi rakyat.

“Daripada kajian itu, kita akan dapat petunjuk untuk tingkatkan keyakinan rakyat dan membolehkan kita memperbaiki persepsi berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi dalam ucapannya berkata semua negeri berjaya mencatatkan penurunan kes mengikut nilai ambang yang ditetapkan pada tahun lepas.

“Berdasarkan perbandingan Indeks Jenayah Per 100,000 Penduduk Se-Malaysia, bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2018, sejumlah 88,662 kes telah dilaporkan berbanding nilai ambang yang ditetapkan bagi tahun itu sebanyak 100,611 kes. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes,” katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, peningkatan jumlah keahlian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang mencecah kira-kira 1.2 juta orang sehingga 31 Dis merupakan satu daripada faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar indeks jenayah di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 60,552 aduan telah diterima dengan 59,945 aduan telah diambil tindakan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, Mohamad Fuzi turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 47 pegawai dan anggota polis sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara.

Beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Koperal E. Sashi Kumar, Koperal Ahmad Rafee Razali dan Koperal Ashraf Khaiyum Maridzuan yang bertugas di Lebuhraya Zon Utara, Cawangan Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik kerana terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan 500 kilogram dadah yang ditemukan di dalam sebuah lori kontena di Hentian Taiping Lebuhraya Utara-Selatan pada Sabtu lepas. - Bernama