Guru, murid perlu sentiasa berhubung: KGMMB

Kementerian Pendidikan melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh PKP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Kementerian Pendidikan melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh PKP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua guru dicadangkan berhubung secara terus menggunakan telefon dengan murid-murid yang tidak mempunyai akses internet di rumah bagi memastikan sesi pembelajaran tetap berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, hanya itu pilihan yang ada untuk kedua-dua belah pihak saling berinteraksi supaya setiap murid tidak terputus untuk mendapatkan ilmu.

“Dalam keadaan pergerakan yang terhad ini, agak susah kalau (murid) tidak ada akses internet sebab bahan latihan hard copy dilarang sama sekali.

“Mahu atau tidak, murid kena belajar sendiri atau paling tidak pun berhubung dengan guru melalui telefon yang boleh menghubungkan kedua-dua belah pihak secara terus.

“Guru kena menggambarkan bahawa mereka sentiasa ambil tahu keadaan murid dan ambil berat pelajaran mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kesukaran yang mungkin dihadapi murid yang tidak mempunyai akses internet susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Kementerian Pendidikan melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh PKP.

JASNI
JASNI

Mengulas lanjut, Jasni berkata, guru-guru juga dicadangkan supaya mewujudkan pembelajaran secara kumpulan kecil melalui Skype.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kumpulan kecil itu boleh dibahagikan kepada kategori murid seperti kumpulan murid cemerlang, sederhana dan lemah bagi memastikan sesi pembelajaran atau kerja rumah yang diberikan mengikut kemampuan mereka.

“Kita harap cikgu-cikgu merancang dengan sehabis baik, maksudnya memberi kerja secara berjadual supaya tugas yang diberikan tidak membebankan mereka.

“Tetapi yang paling penting adalah kerja yang diberikan itu turut dibuat pembetulan segera supaya pembelajaran dapat berjalan dengan lancar, maksudnya jangan tunggu tamat PKP baru hendak lakukan pembetulan,” katanya.

Dalam pada itu, Jasni turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana turut melibatkan persatuan bagi mendapatkan pandangan demi menambah baik sistem pendidikan negara.