Jangan lepak dalam kedai!

Baharudin (tengah) ketika bermesyuarat antara Gapema dengan Exco Belia dan Sukan, Perlancongan, Seni Budaya, Pembangunan Usahawan, Asmirul Anuar Aris.
Baharudin (tengah) ketika bermesyuarat antara Gapema dengan Exco Belia dan Sukan, Perlancongan, Seni Budaya, Pembangunan Usahawan, Asmirul Anuar Aris.
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (Gapema) Kedah menasihatkan peniaga supaya tidak lepak dalam kedai masing-masing selepas tamat operasi perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Gapema Kedah, Baharudin Mohd Ali berkata, beliau berharap tidak ada peniaga yang lepak untuk melakukan aktiviti lain seperti menonton televisyen di premis niaga mereka.

Katanya, tindakan berkenaan bukan hanya menggalakkan orang lain berkumpul, malah berisiko untuk dikenakan tindakan akibat melanggar PKP dilaksanakan.

"Kita harap tiada peniaga dan penjaja yang lepak dalam kedai selepas waktu perniagaan tamat. Kemudian, buka lampu dalam kedai dan apabila ada orang tengok dia tumpang lepak sama.

"Kebetulannya, pihak berkuasa lihat maka mereka akan dikenakan tindakan. Jadi, apabila selesai berniaga diharapkan mereka tutup kedai dan balik ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Baharudin berkata, peniaga dan penjaja turut diingatkan tidak leka berniaga sehingga melepasi waktu perniagaan sehingga jam 8 malam yang ditetapkan ketika tempoh PKP.

Beliau berkata, pihaknya menyedari keadaan peniaga dan penjaja yang cuba mencari rezeki dan menjana pendapatan untuk menyara kehidupan masing-masing dalam tempoh PKP.

"Namun, ikutlah dan patuhilah arahan PKP ditetapkan. Janganlah sehingga lebih jam 8 malam pun masih ada yang berniaga seperti biasa, yang mana ia akan membawa kepada tindakan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga terkesan dengan PKP boleh tampil bertemu dengan pihak kami ataupun mana-mana persatuan peniaga lain untuk mendapatkan borang bantuan.

"Kita difahamkan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga menerima borang permohonan dari peniaga untuk mendapatkan bantuan sewajarnya untuk meneruskan hidup ketika PKP," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, beliau menasihatkan penjaja dan peniaga berwaspada dengan taktik individu tidak bertanggungjawab yang cuba memperdayakan golongan berkenaan untuk menyerahkan maklumat peribadi dengan janji mendapatkan bantuan.

Baharudin berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung perkara itu buat masa ini, namun tetap berharap penjaga dan peniaga tidak terpedaya dengan tawaran janji sedemikian.