X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Nisbah jangkitan menurun sejak PKP dilaksanakan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kadar nisbah jangkitan koronavirus (Covid-19) dijangka akan menurun kepada sifar (tiada jangkitan) pada minggu hadapan susulan dua fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ratio jangkitan atau R-nought telah menurun kepada seorang yang dijangkiti.

"Sebelum pelaksanaan PKP, KKM mendapat secara ratio apabila seseorang dijangkiti, ia akan menjangkiti 3.55 individu lain manakala apabila PKP telah dilaksanakan, ia menjangkiti kepada seorang," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKP dilihat sangat efektif untuk menurunkan ratio jangkitan dari seorang pesakit kepada individu lain.

"Apabila semua orang tinggal di rumah, jangkitan akan berkurangan dan aktiviti menjangkiti juga menurun.

"Dijangka menjelang 14 April ini, ratio akan menurun lagi kepada 0.9 iaitu bermakna tiada jangkitan," katanya.

Beliau berkata, pelanjutan dua minggu lagi PKP akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memerangi penularan Covid-19.

"Pelaksanaannya telah membantu KKM dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil," katanya.

Pelanjutan tempoh PKP sehingga 28 April adalah tindakan wajar dilakukan.

"Sepertimana yang disebut sendiri oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, tindakan agresif seperti ini dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia berkemungkinan telah melepasi kemuncak jangkitan minggu lepas berdasarkan ramalan agensi kajian JP Morgan & Co dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

"Ini dapat diperhatikan daripada trend kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian KKM.

"Namun begitu ia masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan berterusan," katanya.

Sebelum ini, JP Morgan & Co meramalkan negara ini mencapai kemuncak jangkitan sehingga lebih 6,000 kes sehari pada pertengahan April.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!