Tiada kompromi penyebar berita palsu Covid-19 termasuk orang kenamaan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang didapati menyebarkan berita palsu berkaitan krisis wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, ini kerana kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius tindakan pihak yang cuba mencetuskan perasaan panik dan kebimbangan dalam kalangan rakyat di negara ini dengan penyebaran berita palsu terbaharu mengenai rempuhan di Tambak, Johor.

“Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memandang serius perkara seperti ini kerana perkara seperti itu telah menyebabkan perasaan bimbang dalam kalangan rakyat terutamanya warga di Johor yang bimbang tentang kemasukan beramai-ramai seperti ini.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak polis telah pun mengenal pasti mereka yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang terlibat.

“Perlu saya ingatkan tidak ada siapa yang terkecuali dan lebih tinggi daripada undang-undang, jadi sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes seperti penyebaran berita palsu ini tidak akan terlepas begitu sahaja walaupun apa kedudukan mereka sekalipun,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, penyebaran video rempuhan di Tambak, Johor yang tular sejak semalam merupakan rakaman latihan kebakaran yang dilakukan Disember 2018 lalu.

“Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menafikan dan menjelaskan bahawa rakaman video tersebut adalah suasana latihan pencegahan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah pun dilaksanakan pada 18 Disember 2018.

“Jadi, saya menyeru kepada semua cukuplah, hentilah penyebaran berita palsu kerana ia tidak membantu rakyat dan juga kerajaan dalam kita hendak menangani isu atau krisis Covid-19 ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: