Ajar anak jahit beg kitar semula

Muhammad Faisal (kiri) mengajar anak-anaknya membuat beg kitar semula daripada baju terpakai.
Muhammad Faisal (kiri) mengajar anak-anaknya membuat beg kitar semula daripada baju terpakai.
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi memupuk daya kreativiti dan imaginasi anak-anak, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz meluangkan masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjahit beg kitar semula bersama dua anaknya.

Muhammad Faisal, 34, berkata, beg itu diperbuat daripada baju-baju lama yang sudah tidak dipakai.

Katanya, secara tidak langsung aktiviti yang dilakukan itu dapat mendidik anaknya, Maryam, 6, dan Muhammad, 4, agar mengamalkan budaya kitar semula dan menghindari pembaziran.

"Saya beri tunjuk ajar dan mereka buat. Dari situ anak-anak tonjol kebolehan mereka untuk reka sendiri bentuk beg yang mereka suka.

"Beg kitar semula itu yang dah siap dijadikan sebagai beg shopping mereka selaras dengan kempen bebas beg plastik yang dijalankan kerajaan. Denga cara sebegini anak-anak juga diasuh untuk sayangi alam sekitar," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Muhammad Faisal, cuti sekolah yang panjang juga membolehkan dia memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anaknya termasuk permainan batu seremban.

"Anak-anak nampak seronok bermain lebih-lebih lagi batu yang digunakan diperbuat sendiri iaitu dijahit dengan kain.

"Selain itu, anak-anak juga tetap terus belajar sepanjang tempoh PKP ini dan mereka mengikuti kelas online 3M iaitu membaca, menulis dan menghafaz bersama guru dengan dipantau oleh saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pada sebelah malam pula anak-anaknya akan membaca buku dan membuat kerja-kerja menulis.

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, tempoh PKP tidak menghalangnya untuk mempengerusikan mesyuarat bersama kakitangannya memandangkan ABIM merupan salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani pandemik Covid-19 sepanjang tempoh PKP.

"Setiap pagi saya akan buat mesyuarat online bersama kakitangan ABIM. Kebiasaannya untuk selaraskan bantuan akibat Covid-19 untuk barisan hadapan dan golongan B40 yang terjejas.

"Setakat ini selain bantuan diberi dari segi tenaga sukarelawan, seramai 178 orang kita juga telah salurkan pelbagai bantuan seperti sut peralatan perlindungan diri (PPR), pelindung muka, topeng muka, apron plastik, but getah, kipas industri, lampin bayi dan pek makanan," katanya.

Katanya, beliau memahami pengorbanan besar petugas barisan hadapan ketika ini yang berjuang untuk menghentikan rantaian penularan wabak itu kerana isterinya juga merupakan doktor perubatan yang bertugas sepanjang PKP.

"Sebab itu waktu yang ada sekarang saya turut manfaatkan untuk buat kejutan kepada isteri. Misalnya pada sambutan Hari Doktor tempoh hari, saya hadiahkan isteri sebiji kek. Waktu beginilah kita juga dapat tunjuk rasa penghargaan terhadap pasangan," katanya.