Isi waktu ‘main’ TikTok tidak relevan: PKAUM

Poster yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Poster yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) membantah cadangan penggunaan aplikasi TikTok oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengelakkan bosan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Setiausahanya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz berkata, ini kerana penggunaan aplikasi itu bukan sahaja boleh merosakkan penggunaan bahasa tetapi juga melekakan.

Menurutnya, KPT seharusnya memberi galakan kepada Universiti Awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) menggembeling tenaga untuk mencari penyelesaian kepada kemelut jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

“Selepas kita dikejutkan oleh drama penggunaan aplikasi Zoom oleh ramai warga UA dan IPTS yang menyebabkan data dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kini KPT sekali lagi bersifat tidak bertanggungjawab dengan menggalakkan penggunaan aplikasi TikTok yang diketahui umum sedang menghadapi proses saman perundangan di peringkat global disebabkan data peribadi pengguna disalahgunakan dengan begitu mudah oleh pihak ketiga.

“Lebih menakutkan apabila aplikasi TikTok ini dikatakan memberi ruang jenayah siber terhadap kanak-kanak.

“Jadi, PKAUM mengharapkan menteri bertanggungjawab mendapatkan nasihat dari cendekiawan serta sarjana terbilang dalam mencari penyelesaian kepada masalah runcing yang dihadapi oleh negara dewasa ini serta menjadi perintis dalam menjana idea-idea yang berkesan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan yang jauh lebih baik di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KPT juga sepatutnya menangani masalah terkini yang sedang menghantui komuniti cendekiawan di seluruh negara iaitu memastikan mekanisme pembelajaran efektif berterusan boleh berlaku di setiap kediaman atau ruang isolasi mahasiswa dan pasca-ijazah di negara tercinta kita Malaysia semasa tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

“Antaranya ialah memastikan kelengkapan, infrastruktur serta jalur gelombang internet mencukupi untuk penggunaan semua warga IPT merangkum pelajar, pensyarah dan guru bagi membolehkan matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan komprehensif dan berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan: