Penginapan selesa, selamat buat petugas hadapan hadapi Covid-19

Airbnb
Airbnb
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali penginapan dalam talian, Airbnb akan menyediakan penginapan selesa dan selamat kepada petugas barisan hadapan bagi menentang wabak koronavirus (Covid-19) di bawah inisiatif global Frontline Stays di Malaysia.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, program itu dijangka akan dilancarkan pada bulan April di Malaysia sebagai usaha bersama antara Airbnb dan hos Malaysia yang disokong oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut syarikat itu lagi, Airbnb juga sedang meneroka kemungkinan untuk bekerjasama dengan masyarakat tempatan dan organisasi bukan berasas keuntungan untuk menyokong inisiatif itu.

"Selepas pelancaran global Frontline Stays, komuniti hos Airbnb telah menawarkan 100,000 tempat penginapan untuk responden pandemik Covid-19. Melalui program ini, kakitangan barisan hadapan boleh menempah penginapan percuma dan berbayar di 160 negara.

"Airbnb akan terus mengetepikan semua yuran untuk 100,000 penginapan pertama yang ditempah melalui program ini. Hos juga boleh memilih untuk menyertai program ini dan mempunyai pilihan untuk membuka kediaman mereka secara percuma melalui platform Open Homes Airbnb, yang dilancarkan pada tahun 2012 untuk memenuhi keperluan orang ramai yang memerlukan penginapan kecemasan," kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Airbnb mengambil inisiatif ini kerana menyedari penginapan untuk petugas barisan hadapan yang terdedah dengan wabak Covid-19 memerlukan amalan pencegahan yang mantap dan standard keselamatan yang ketat.

"Contoh cadangan untuk menjadi hos yang selamat termasuk menyenaraikan seluruh kediaman dan bersetuju dengan beberapa syarat keselamatan termasuk pembersihan yang ditingkatkan, penjarakkan sosial dengan tetamu mereka, dan memperuntukkan 72 jam antara penginapan.

"Rakan kongsi atau ahli gabungan Airbnb akan memastikan penginapan berkaitan dengan Covid-19 dan pekerja perubatan memahami protokol keselamatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hos Airbnb di Malaysia yang ingin menyertai program ini boleh mendaftar di airbnb.com/covid19relief.