Ibu tunggal lima anak gigih jana pendapatan

Syahirah (kanan) mengambil inisiatif menawarkan khidmat penghantaran makanan atau ‘runner’ secara terus kepada pelanggannya bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. - Foto Bernama
Syahirah (kanan) mengambil inisiatif menawarkan khidmat penghantaran makanan atau ‘runner’ secara terus kepada pelanggannya bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU- Seorang ibu tunggal menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan atau ‘runner’ bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Syahirah Syari, 31, dari Kampung Melor di sini, berkata beliau mengambil peluang mencari rezeki dengan kaedah itu untuk menyara lima anaknya yang berusia antara empat hingga 13 tahun.

Sebelum PKP dikuatkuasakan, Syahirah bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan yang terletak di Ketereh di sini, dengan upah RM30 sehari.

“Namun disebabkan PKP yang dikuatkasakan sejak 18 Mac lalu, saya tidak dapat bekerja seperti biasa dan selepas seminggu ia dilaksanakan, saya terdetik untuk menawarkan perkhidmatan ‘runner’ ini kepada orang ramai.

“Pada awalnya, saya meminjam sebanyak RM1,000 dengan ibu saya, Punaizah Omar, sebagai modal permulaan untuk menjalankan perniagaan ini bagi membeli bekalan makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Syahirah berkata, perkhidmatan penghantaran menggunakan keretanya itu bermula 9 pagi hingga 7 petang setiap hari, dan mengambil masa sejam untuk dihantar kepada pelanggan selepas mendapat bekalan daripada pembekal makanan.

Sebagai langkah keselamatan, beliau turut mengenakan penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair pembasmi kuman ketika menghantar makanan serta mengamalkan jarakan sosial ketika bertemu pelanggannya.

Bagi memudahkan urusan penghantaran makanan, Syahirah terlebih dahulu akan menyenaraikan bekalan makanan yang diperolehi daripada pembekal termasuk keropok lekor, pelbagai jenis buahan dan sayuran di laman Facebooknya dan aplikasi WhatsApp untuk ditempah oleh pelanggan sehari sebelum penghantaran.

Artikel Berkaitan:

“Hampir setiap hari saya akan mendapatkan bekalan keropok lekor sebanyak 100 kilogram (kg) selain bekalan buah-buahan dan juga sayuran segar sekitar RM500. Kebiasaannya, pelanggan akan membuat bayaran secara tunai selepas saya menyerahkan barang yang dipesan.

“Saya membuat penghantaran di sekitar Kota Bharu, Wakaf Che Yeh, Kok Lanas, Pasir Puteh dan beberapa lokasi lain sekitar radius 10 kilometer (km) dengan kadar kos penghantaran yang dikenakan antara RM3 hingga RM5 bergantung kepada jarak perjalanan,” katanya.

Katanya, melalui perkhidmatan ‘runner’ itu, beliau mampu memperoleh pendapatan antara RM150 hingga RM300 sehari, bagi menampung perbelanjaan keluarga selepas kematian suami, Ahmad Fuad Jaafar, akibat kemalangan jalan raya, empat tahun lepas.

“Walaupun ada ketika pekerjaan ini agak memenatkan kerana saya terpaksa terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi lain untuk menghantar barangan namun ia berbaloi kerana bukan sahaja dapat menjana pendapatan bahkan dapat membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk keluar rumah bagi mendapatkan bekalan makanan," katanya.

Beliau yang juga penerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan RM1,600 kepada golongan isi rumah B40.

“Saya akan menggunakan BPN untuk membayar balik modal yang dipinjam daripada ibu untuk menjalankan perniagaan ini selain untuk keperluan harian,” katanya.-Bernama