Kerajaan bersedia kemungkinan selepas Covid-19

Mustapa - Foto Bernama
Mustapa - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan, yang menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bersedia untuk sebarang kemungkinan untuk memastikannya mendahului jangkaan selepas Covid-19.

Dalam temu bual khas dengan stesen radio RTM, TraXX FM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) telah memulakan usaha mengenai pelan pemulihan selepas Covid-19 dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk menghasilkan pelan draf yang akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu.

“Keadaan selepas Covid-19 akan menjadi dunia baharu dan Malaysia baharu, apabila terdapat lebih banyak persidangan video, orang bekerja dari rumah dan lebih ramai yang akan berhati-hati mengenai kesihatan mereka.

“Sikap pengguna akan berubah apabila terdapat lebih banyak pendigitalan dan e-dagang,” katanya, sambil menambah Malaysia akan terus melaksanakannya dengan baik tetapi ia perlu membuat beberapa perubahan asas.

Walaupun berdepan dengan keadaan di luar jangkaan, Mustapa berkata, kerajaan telah mempelajari banyak perkara dan mengenal pasti kelemahan yang boleh ditambah baik seperti pangkalan data mengenai perusahaan mikro seperti penjaja jalanan, yang menjadikannya sukar kepada kerajaan untuk membantu mereka dalam situasi ini.

Selain itu, katanya pandemik tersebut turut mendedahkan beberapa kelemahan dari segi pendigitalan walaupun negara mencatatkan kadar penembusan jalur lebar yang tinggi.

“Kami mula menyaksikan beberapa kelemahan di sini dan di sana. Misalnya, dari segi e-dagang dan pendigitalan, kita jauh ketinggalan. Kita perlu lebih agresif,” katanya.

Mustapa berkata, ia telah menjadi satu bulan yang sukar kepada kerajaan baharu, menangani antara mengurangkan impak ekonomi daripada Covid-19, mengekalkan kesihatan awam dan kemerosotan harga minyak dunia.

Artikel Berkaitan:

Dalam akaun Twitter rasmi pasukan komunikasinya semalam, katanya menteri itu bekerja hingga lewat malam di Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menghadiri Mesyuarat peringkat Menteri Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC (Luar Biasa) Kesembilan melalui telepersidangan.

“Bekalan yang meningkat dan permintaan yang merosot dalam beberapa minggu ini telah mengejutkan pasaran minyak dunia. Berharap kepada penyelesaian yang baik," kata beliau.

Mustapa berkata, mesyuarat telepersidangan itu, yang bermula pada 11 malam semalam akhirnya berakhir pada 8.30 pagi ini, mungkin mesyuarat paling lama yang beliau pernah hadiri. -Bernama