Bekas Menteri Pendidikan beri idea jika PKP dilanjutkan

Mahdzir Khalid.
Mahdzir Khalid.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan beberapa langkah yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 14 April ini.

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, inisiatif itu merangkumi beberapa langkah bagi sektor seperti Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah, Kementerian Pendidikan perlu menggalakkan sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

Menurutnya, penggunaan platform yang interaktif mampu merangsang minat guru dan pelajar untuk meneruskan sukatan pelajaran sedia ada dan cara itu juga boleh menghalang pelajar daripada tepu setelah lama terperap di rumah.

“Slot pendidikan yang disediakan di saluran RTM (Radio Televisyen Malaysia) sekarang juga boleh dipanjangkan tempohnya selain memperluaskan lagi ke saluran-saluran swasta dan berbayar.

“Di samping pelaksanaan saranan-saranan di atas, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) turut perlu mengambil kira batas dan keupayaan para guru supaya proses sesi pembelajaran dan pengajaran ini dapat dijalankan dengan sebaiknya,” katanya menerusi catatan di Facebooknya, malam tadi.

Mengulas lanjut, bagi Sektor Pendidikan Tinggi pula, Mahdzir mencadangkan, Kementerian Pendidikan Tinggi boleh menyarankan kepada pihak universiti untuk menganjurkan kuliah dalam talian supaya sukatan kuliah boleh dihabiskan mengikut jadual asal.

Menurutnya, kelebihan hampir setiap pelajar memiliki telefon pintar ditambah inisiatif syarikat telekomunikasi memberikan data internet percuma memungkinkan saranan ini dapat dilaksanakan.

“Untuk Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pula, universiti berasaskan penyelidikan boleh mengambil peluang ini untuk memperkasa sektor R&D yang mana penyelidikan mengenai virus Covid-19 boleh dijalankan untuk memahami sifat dan keperibadian virus tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dapatan penyelidikan ini boleh dihebahkan kepada orang ramai untuk kebaikan bersama. Kumpulan R&D juga boleh menjalankan kajian untuk mencari vaksin virus ini. Mana tahu mungkin vaksin Covid-19 datangnya dari makmal kita,” katanya.

Katanya lagi, untuk merealisasikan hasrat itu, kerajaan mesti menyediakan geran penyelidikan dengan nilai yang wajar kepada universiti terbabit untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

“R&D yang dijalankan juga perlu melibatkan kepakaran semua pihak dalam bidang perubatan, penjagaan kesihatan, kawalan penyakit, pakar bioinformasi serta saintifik data supaya usaha ini dapat digembleng bersama,” katanya.

Bagi Sektor Keusahawanan pula, Mahdzir mencadangkan, kerajaan perlu melancarkan inisiatif khusus untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada di bandar mahupun luar bandar dan inisiatif itu perlulah membolehkan perniagaan mereka beroperasi semula walaupun dalam tempoh PKP.

“Sampai bila kerajaan mampu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit? Platform perniagaan dalam talian juga boleh diperluas untuk diperkenal dan digunakan oleh mereka. Atau dengan kata lain, implementasi teknologi jalur lebar 5G perlu disegerakan oleh penyedia perkhidmatan.

“Bagi Sektor Sains Kemasyarakatan, satu kajian khusus boleh dijalankan oleh pakar-pakar dalam sektor sains kemasyarakatan untuk mengenalpasti norma-norma kehidupan yang pasti berubah pasca PKP.

“Dapatan kajian ini boleh digunakan oleh rakyat untuk bersedia dalam menyesuaikan diri sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan PKP tamat sepenuhnya kelak. Dapatan kajian ini juga amat penting untuk rakyat membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir turut melihat berdasarkan laporan harian Covid-19 disampaikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya merasakan perlunya ia diteruskan lagi sehingga negara benar-benar bebas dari virus itu.

“Seperti yang pernah saya katakan dahulu, kesihatan rakyat adalah lebih utama dan berharga. Kerajaan wajar mengkaji kesan penamatan perintah berkurung di Wuhan dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Ini boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang seterusnya.

“Saya menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan kerjasama dalam mematuhi setiap arahan kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk memutuskan rantaian Covid-19. Kita mesti menang,” katanya.