Isuzu buka cawangan di Muar

Tong Lai (dua, kanan) dan Koji (tengah) menyempurnakan perasmian pembukaan Pusat Pameran Isuzu di Jalan Sulaiman, Muar, semalam.
Tong Lai (dua, kanan) dan Koji (tengah) menyempurnakan perasmian pembukaan Pusat Pameran Isuzu di Jalan Sulaiman, Muar, semalam.
A
A
A

MUAR - Menyedari permintaan tinggi dalam kalangan warga Muar terhadap kenderaan pacuan empat roda Isuzu, syarikat itu kini melebarkan sayapnya apabila membuka pusat pameran baharu di daerah ini.

Pengarah Urusan Ng Hup Lee Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi Isuzu Malaysia, Ng Tong Lai berkata, kewujudan pusat 3S Isuzu di Melaka sejak dua tahun lalu menunjukkan perkembangan baik apabila ia turut menjadi tumpuan dalam kalangan penduduk Muar.

Justeru, mengambil kira respon positif itu, Ng Hup Lee Sdn Bhd kemudiannya menubuhkan Pusat Pameran Isuzu di Jalan Sulaiman, bagi memberi kemudahan kepada pelanggan di sini melihat pelbagai model kenderaan keluaran syarikat dari negara Jepun ini.

“Kami telah lama berada dalam perniagaan ini dan mendapati pasaran di Muar turut menunjukkan banyak peluang kerana jenama Isuzu kini berada dalam kedudukan yang kukuh bagi menguasai pasaran ini.

“Bagi penubuhan Pusat Pameran Isuzu di Muar, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 100 unit kenderaan akan terjual bagi tahun pertama sebelum tambahan 50 lagi unit bagi tahun berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tong Lai berkata, pembukaan pusat pameran kelima di Johor itu juga sekaligus menyaksikan kejayaan Isuzu dalam menubuhkan bilik pameran mereka yang ke-45 di negara ini.

“Selama 14 tahun menjadi pengedar sah Isuzu, saya dapat melihat banyak perubahan dan kecanggihan teknologi diterapkan dalam kenderaan ini. Bermula daripada rekaan lama sebelum mampu beralih menjadi rekaan yang moden-ultra dan model yang cekap dengan bahan api seperti hari ini.

“Malah, rekod pemanduan yang paling efisien telah dicapai pada 2014 meliputi 1,809 kilometer dari Bangkok ke Singapura juga berjaya dibuktikan apabila dengan menggunakan kurang daripada satu tangki minyak penuh iaitu 76 liter,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pembukaan pusat pameran itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Menurut Koji, penambahan jumlah pusat pameran ini pastinya mampu meningkatkan pengeluaran unit kenderaan itu khususnya di Johor sekali gus membawa kepada pemanduan terbaik.