Usaha mitigasi Covid-19

A
A
A

KITA masih lagi berbincang tentang penyakit koronavirus (Covid-19). Ia sedang menjadi pandemik yang melanda seluruh dunia.

Kita perlu faham sejelas-jelasnya akan fenomena jangkitan yang dibawa oleh virus SARS-CoV-2 yang membawa penyakit itu.

Kita kini masuk ke minggu akhir daripada empat minggu yang telah diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP bermula pada 18 Mac 2020 dan walaupun dirancang berakhir pada 31 Mac, ia telah dipanjangkan selama dua minggu lagi ke 14 April 2020.

Menjelang 12 atau 13 April nanti, kita sebagai sebuah negara akan mendapat kepastian sejauh mana kita berjaya untuk mendatarkan keluk (flatten the curve) bilangan kes Covid-19.

Sebelum kita teruskan perbincangan, perlu dijelaskan istilah statistik keluk berbentuk loceng (bell-shaped curve) yang menjadi dasar kepada usaha mendatarkan keluk.

Mana-mana penyakit berjangkit mempunyai tiga fasa. Fasa pertama ialah tempoh bilangan kes bertambah secara mendadak, hinggalah puncak intensiti dicapai (fasa kedua).

Ini berlaku sebelum bilangan kes berkurangan dan menurun (fasa ketiga). Graf yang terbentuk dinamakan sebagai keluk berbentuk loceng.

Artikel Berkaitan:

Maka, proses mendatarkan keluk bertujuan untuk mencegah pertambahan bilangan kes yang memuncak secara mendadak dan mengawal jangkitan hingga ia merebak secara lebih mendatar.

Dengan cara itu, perkhidmatan kesihatan sesuatu negara khususnya negara kita, dapat mengurus pandemik ini dengan baik.

Kajian di Wuhan, China (tempat bermulanya diagnosis penyakit ini) dan beberapa tempat lain menunjukkan bahawa secara purata, reproductive number(Ro) atau bilangan reproduktif bagi penyakit Covid-19 ialah sekitar 3 (tiga).

Ia bermakna bilangan orang yang dijangkiti oleh seorang pesakit Covid-19 ialah tiga orang.

Seorang kes kontak boleh menjangkiti tiga orang lain bagi Covid-19; walhal bagi penyakit influenza tahunan, Ro ialah lebih sedikit daripada 1 (satu).

Bilangan reproduktif Covid-19 adalah tiga kali lebih dahsyat daripada influenza yang telah sedia wujud dalam masyarakat selama ini.

Oleh kerana Ro Covid-19 adalah lebih daripada satu (1), maka penyakit itu akan terus merebak seperti kita lihat di negara kita dari pertengahan bulan Mac 2020.

Untuk menghentikan pandemik ini, Ro tersebut mestilah dikurangkan ke nilai di bawah satu (1) supaya ancamannya akan terus mengecil dan lenyap.

Ini boleh dilakukan dengan memutuskan rantai jangkitannya supaya pesakit tidak menjangkiti orang lain. Ia boleh berjaya menerusi penjarakan sosial dalam usaha pembendungan dan mitigasi.

Ia telah terbukti berjaya dalam usaha memerangi tiga jenis penyakit. Pertama, Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk atau Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) yang dibawa oleh Coronavirus.

Kedua, Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) yang juga dibawa oleh sejenis Coronavirus.

MERS-CoV dikenal pasti di Arab Saudi pada tahun 2012 dan terdapat di dalam badan unta yang kemudian menjangkiti manusia. Sejak 2012, 27 buah negara telah melaporkan penularan penyakit ini. Ketiga ialah influenza A (H1N1).

Usaha mendatarkan keluk sedang dilakukan di Malaysia. Selepas melaksanakan usaha pembendungan (containment), kita telah memulakan usaha mitigasi secara besar-besaran dengan PKP.

Seluruh negara terus mengalami pengalaman yang luar biasa dan membimbangkan.

Dalam kalangan rakyat ada yang sedang meratapi ahli-ahli keluarga yang telah meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19, penyakit yang tidak mengenal keturunan dan kepercayaan.

Sekumpulan lagi terus dikuarantin atau menjalani swakuarantin. Ada pula yang sedang menunggu kesihatan kembali dengan rawatan, harapan dan doa.

Sekumpulan pula sedang dirawat secara intensif. Selain itu, ramai yang berada dalam keadaan stres. Seluruh negara berdoa agar landaan Covid-19 ini akan berkurangan sebelum ia berakhir, insya-ALLAH.

Pemandirian (survival) harian menjadi perkara utama yang difikirkan – makan dan minum untuk diri serta keluarga yang tercinta. Masa inilah kita mengambil peluang untuk membantu diri, keluarga serta orang lain.

Masa ini jugalah kebaikan atau keburukan diri mendominasi hidup kita.

Sama-sama kita bertindak secara positif dengan melakukan langkah-langkah berikut:

1. Jangan biarkan diri tidur tanpa mengambil peduli tentang jiran dan rakyat yang berada dalam kesusahan.

2. Berilah bantuan dalam pelbagai bentuk yang termampu.

3. Bincangkan perkara yang timbul daripada pandemik ini dengan orang yang dipercayai.

4. Ingatkan diri bahawa ramai lagi manusia yang tertekan oleh kehidupan yang sempit.

5. Pastikan ada masa untuk bertafakur, berdoa dan mendirikan salat.

6. Terus perkukuhkan hubungan sesama ahli keluarga atau sesama rakan serumah.

7. Amalkan cara untuk mengurangkan stres.

8. Mulakan perancangan semula kehidupan.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP