X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura catat peningkatan kes baharu

Salah sebuah asrama pekerja asing yang terdapat di Singapura. - Foto Reuters
A
A

SINGAPURA - Singapura hari ini mencatat sejumlah 287 kes baharu Covid-19 di republik itu, peningkatan harian terbesar dengan majoriti daripadanya dikaitkan dengan asrama pekerja asing, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 1,910.

Dalam sidang akhbar maya pasukan petugas pelbagai kementerian berkaitan situasi Covid-19, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak berkata, kes terbaharu itu terdiri daripada 219 yang mempunyai kaitan dengan kluster sedia ada.

“Sekurang-kurangnya 160 kes adalah dari Asrama S11 @ Punggol,” katanya.

Asrama S11 di Seletar North Link adalah antara empat asrama pekerja yang diwartakan sebagai kawasan isolasi.

Mak berkata, satu kaitan awal telah diwujudkan antara kluster di kedai serbaneka Mustafa Centre, tapak pembinaan Project Glory serta lima lagi asrama pekerja.

“Kebanyakan kes ini bermula dengan kluster di Mustafa Centre. Kami percaya bahawa pekerja terbabit telah berkunjung ke Mustafa Centre dan mereka kemudian menyebarkan jangkitan virus itu kepada rakan sekerja sama ada di Project Glory atau dalam kalangan asrama tempat mereka tinggal," katanya.

"Jangkitan berkemungkinan berlaku menerusi kontak rapat, sebagai contoh ketika waktu makan dan rehat serta dalam kalangan pekerja di tempat kerja susulan kedekatan fizikal,” katanya.

Mak juga berkata, tiga daripada kes terkini adalah kes import manakala 19 lagi dikaitkan dengan kes lain dan 46 tidak mempunyai kaitan.

Mengemas kini kes yang disahkan, Mak berkat, 884 masih dirawat di hospital termasuk 29 di unit rawatan rapi, 314 kes telah discaj daripada rawatan akut manakala 705 telah dipindahkan ke fasiliti isolasi komuniti.

Setakat ini, Singapura mencatat enam kematian akibat Covid-19.

MOH berkata, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kematian seorang rakyat India berusia 32 tahun yang meninggal dunia setelah selesai menjalani ujian swab dan telah disahkan dijangkiti Covid-19 selepas kematiannya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus